Polis sedang mengesan dalang utama pembikinan dua video raya yang mempromosikan perjudian dalam talian. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Polis sedang mengesan dalang utama pembikinan dua video raya yang mempromosikan perjudian dalam talian. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis sudah mengenal pasti seorang lelaki dipercayai menjadi dalang utama pembikinan dua video iklan lagu raya yang mempromosi kegiatan perjudian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, lelaki berusia 35 tahun dikenali sebagai Loh Kee Hoe beralamat terakhir di Kuala Lumpur.

"Suspek kini dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana terbabit dalam sebaran video mempromosikan perjudian dalam talian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Zairil Hazly Zulkifli di talian 017-4589997," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Mengulas berhubung tangkapan terhadap lapan individu semalam, Mohamad Zainal berkata, dua daripadanya direman sehingga 21 April ini manakala enam individu yang juga pelakon video klip berkenaan dibebaskan.

"Individu yang direman adalah pengarah produksi dan jurukamera syarikat produksi terbabit.

"Bagi semua pelakon berkenaan permohonan reman ditolak majistret atas sebab individu berkenaan hanya berlakon dan memberi kerjasama yang baik ketika siasatan dijalankan," katanya.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan video pertama dan kedua yang tular dilakukan oleh syarikat produksi yang sama.

"Siasatan awal mendapati ia dilakukan syarikat produksi yang sama namun pelakon yang berbeza.

"Tetapi pelakon bagi video yang pertama mengenali pelakon dalam video kedua, susulan itu polis kini sedang mengesan semua yang terbabit dalam video kedua berkenaan," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 4:45 PM