NAMRON turut berlakon dalam filem pendek arahan pelajar dari Singapura.
NAMRON turut berlakon dalam filem pendek arahan pelajar dari Singapura.
Oleh Nor Akmar Samudin


Ramadan lalu, Namron, 46, menjayakan dua penggambaran iklan komersial raya dan sebuah filem pendek berjudul Cargo, arahan pelajar dari Singapura, Abilash.

Kedua-dua iklan itu mengisahkan hubungan bapa dan anak serta bapa dengan anak angkat berketurunan Cina.

Bagi Namrom, Aidilfitri adalah waktu terbaik untuk bermaaf-maafan, malah mesej yang disampaikan menerusi dua iklan itu diharap meninggalkan kesan kepada masyarakat khususnya anak yang sudah lama tidak berhubung dengan ibu bapa.

“Sejauh mana pun kita berada, apabila hari raya pasti teringat dengan orang tua. Ketika itu pasti terbayang di ruang mata wajah mereka dan perasaan rindu kian menyesak dada.

“Hari raya adalah waktu terbaik untuk bermaaf-maafan dan peluang itu tidak wajar dilepaskan,” katanya.

Ujar pelakon berkarakter itu, dia dan keluarga pulang ke kampungnya di Perlis dua hari sebelum Aidilfitri.

“Emak tinggal seorang diri di kampung. Walaupun sudah diajak tinggal dengan anak di Kuala Lumpur, dia lebih suka menetap di rumah sendiri.

“Seronok emak menyambut kepulangan kami anak-beranak. Melihat senyuman manis yang terukir di wajahnya pada pagi raya lalu buat saya turut tersenyum bahagia,” katanya .

Menyentuh mengenai filem pendek Cargo, jelas Nam­ron karya yang menjalani penggambaran sekitar Banting, Selangor dan siap pada 12 Julai lalu itu dihasilkan khusus untuk menyertai festival filem.

Selain itu, Nam­ron atau nama sebenarnya, Sahili Abdan turut membintangi filem Redha-Beautiful Pain, arahan Tengku Mona Riza.

“Proses pembikinan filem ini bermula dengan sesi latihan sejak awal tahun dan penggambaran berjaya disiapkan Jun lalu. Saya amat menyenangi karya Tengku Mona Riza yang menyentuh unsur kemanusiaan seperti mana supertelefilem terdahulunya, Parit Jawa.

“Jika saya mahu menerbit dan mengarah filem sendiri, saya akan buat seperti karya ini yang cukup menyentuh hati,” katanya.

Menerusi filem itu, isteri Namron iaitu Junainah M Lojong atau mesra di sapa Jun turut berlakon atas permintaan Tengku Mona. Memegang watak sebagai isteri kepada watak yang dilakonkan Namron, ia diharap dapat mengelakkan kontroversi apabila membabitkan babak bersentuhan.

Ketika hadir menjayakan sesi fotografi Aidilfitri, Jun mengakui pada mulanya berat hati kerana bimbang dikata menumpang populariti Namron.

Namun selepas dipujuk Tengku Mona dia mengalah dan akur dengan permintaan itu.

“Jika orang lain bawa watak itu bimbang juga boleh menimbulkan kontroversi.

“Dalam filem ini kami digambarkan mempunyai anak autisme dan saya menjadi murung manakala suami pula tidak boleh menerima hakikat.

“Ada juga adegan romantik antara kami, tetapi sukar untuk melakukannya kerana dalam kehidupan sebenar kami bukan pasangan romantik.

“Malu betul saya melakonkan adegan itu,” kata Jun yang sebelum ini aktif di pentas teater.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga selama 11 tahun itu dikurniakan dua cahaya mata, Demi Kaseh, 9 dan Cahaya Chinta, 4.

Mengulas perkembangan terkini, Namron berkata meskipun genre berat sebati dengan jiwa, dia tidak pernah mengehadkan watak dan gembira beraksi dalam karya komedi arahan Mamat Khalid.

“Komedi Mamat tidak slapstik dan saya bukan tampil sebagai pelawak, tetapi jalan cerita, situasi dan watak yang saya pegang sebagai Datuk Maharajalela dalam filem Usop Wilcha Menghonjang Makhluk-Makhluk Di Muzium itu yang kelakar.

“Selain itu saya turut menjayakan filem komedi, Tuli Sekampung arahan Mohd Nor Kassim,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 9:21 AM