OTHMAN
OTHMAN
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Sebanyak 396 ahli Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (Prism) bakal menerima RM500 seorang sebagai bayaran pertama royalti yang dipersetujui pada bulan ini.

Komposer popular era 1990-an, Othman Masri atau Man Senoi berkata, nama mereka dikenal pasti pihak Recording Performers Malaysia (RPM) dalam proses penyelesaian anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) awal Disember lalu.

"Saya dan Zaha dari kumpulan Spring bersetuju untuk membantu ahli Prism mendapatkan tuntutan wang royalti pelaku penyanyi dan pemuzik yang terbabit secara langsung dalam bidang rakaman.

"Pihak-pihak terbabit sudah bertungkus-lumus membuat kerja menyelesaikan pemasalahan yang berlaku terhadap ahli Prism dan akhirnya ia kini sudah terjawab," katanya.

Othman berkata, pembayaran itu hanya untuk 2018 saja.

Terdahulu, penyelesaian berkenaan isu royalti dicapai menerusi hasil perbincangan KPDNHEP bersama RPM, Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Public Performance Malaysia (PPM) dan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).

Othman berkata, selepas menerima wang pendahuluan RM500, ia akan diikuti pembayaran seterusnya selepas itu.

"Bagaimanapun, ia berpandukan kepada kekerapan jumlah penyiaran lagu-lagu yang dimainkan di stesen radio atau tempat hiburan yang berdaftar.

"Ini hanya permulaan dan yang lain akan menyusul kemudian. Ada lagi lebih 400 ahli Prism dan kami masih lagi dalam peringkat mengenal pasti maklumat mereka.

"Ahli Prism sebelum ditutup pada 2016 ada sebanyak 1,619 orang tetapi tak pasti berapa ramai yang masih aktif. Ahli yang mahukan wang mereka, perlu menyertai RPM," katanya.

Menurutnya, dia dan Zaha bekerjasama dengan MDI bagi menyelesaikan perkara ini.

Maklumat lanjut, mereka boleh dihubungi menerusi nombor 011-22173138 (Man Senoi) atau 013-6795857 (Zaha).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 1:55 PM