DATUK Hattan yang baru menyertai RPM tahun ini mengakui menyampah dengan senaroi yang berlaku. FOTO arkib NSTP
DATUK Hattan yang baru menyertai RPM tahun ini mengakui menyampah dengan senaroi yang berlaku. FOTO arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Siapa pun yang jadi tukang kutip royalti kami tak kisah. Tapi, bagilah hak kami. Itu yang penting sebab kami nak duit kami, hak kami. Kenapa nak perap," kata Datuk Hattan mengulas isu kutipan royalti yang hangat diperkatakan sekarang.

Penyanyi lagu Biso Bonar yang dikenali dengan sikap bersuara lantang dan cakap lepas itu berkata, mana-mana individu yang diberi kuasa, janganlah menggunakan persatuan untuk kepentingan sendiri. 

"Jangan buat persatuan seperti syarikat milik mak bapak. Mana yang hak biarpun RM100, kenalah bagi. Ikutkan saya sebenarnya malas nak layan isu ini. Ia dah lama berlarutan tanpa penyelesaian," katanya kepada Harian Metro.

Isu berkenaan tercetus apabila Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez mempertikai kredibiliti Datuk Sheila Majid selaku Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM) yang gagal menyelesaikan kutipan royalti ahli sejak menerajui RPM pada 2012.

Ia disusuli dengan aduan Freddie kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lalu yang menyaksikan siasatan SPRM terhadap empat badan kutipan royalti iaitu Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd, RPM dan PRISM.

Hattan memuji tindakan SPRM bagi membolehkan semua pihak mendapat cerita sebenar.

"Sebagai ahli MACP, saya memang dapat royalti. Saya pernah rasa duit royalti bawah Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) ketika awal ditubuhkan. Ketika itu, saya juga komitee mereka. 

"Apabila PRISM dibuka semula memang dah tak ke mana. Patutnya PRISM dah tutup dan semua ahli sertai RPM. Tapi, saya hairan kenapa dibuka semula. 

"Saya memang tak faham perkara ini. Saya hanya pernah merasa RM600 sekali sahaja pada hal persembahan pentas banyak. Sebenarnya, elok satu badan sahaja diamanahkan untuk kutip royalti penyanyi dan pemuzik," katanya.

Hattan yang baru menyertai RPM tahun ini mengakui menyampah dengan senario yang berlaku.

"Semua nak jadi ketua tapi kerja tak jalan. Sebagai pengerusi, Sheila sepatutnya buat kenyataan akhbar hantar kepada semua media. Janganlah biar orang buat spekulasi bukan-bukan.

"Saya rasa Sheila dan pasukannya tak pandai buat kerja dan bukan kerana sebab lain. Mungkin mereka tiada team (pasukan) yang boleh buat kutipan. 

"Sebenarnya saya dan komposer Man Senoi pernah buat kerja fasal royalti termasuk berjumpa menteri, namun tetap tiada penyelesaian. Kami dah malas bercakap dan letih berjumpa orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 12:25 PM