Man Senoi.
Man Senoi.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Kami bukan scammer, sebaliknya kami hanya bantu Jabatan Insolvesi Malaysia (MDI) dalam menyelesaikan isu pembayaran royalti seperti yang dijanjikan," kata komposer Othman Masri atau lebih dikenali dengan nama Man Senoi.

Menurutnya, terdapat segelintir penyanyi dan komposer bekas ahli Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (Prism) bimbang apabila mereka meminta maklumat dan butiran lanjut termasuk nombor akaun bank sedangkan ia adalah prosedur yang ditetapkan.

"Kami perlu dapatkan semuanya dan apabila cukup sempurna barulah pembayaran wang berjumlah RM500 dapat diberikan. Kerja ini bukan mudah kerana sukar nak mengenal pasti bekas ahli Prism. Ada yang sudah meninggal dunia, daftar atas nama lain dan nama sama tapi nombor kad pengenalan berbeza.

"Kami juga berhubung dengan bekas ahli berbangsa Cina dan India bagi memastikan semua dapat hak masing-masing. Kepada yang bertukar ke Recording Performers Malaysia (RPM) pun ada dan kami perlu pastikan ia tak bertindih dua keahlian," katanya.

Terdahulu, penyelesaian berkenaan isu royalti dicapai menerusi hasil perbincangan KPDNHEP bersama RPM, Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Public Performance Malaysia (PPM) dan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).

Ia adalah agihan pertama royalti tertunggak ekoran pembubaran konsortium Music Rights Malaysia (MRM), sejak dua tahun lalu. Dana royalti tertunggak diagihkan berdasarkan laporan penggunaan lagu yang diperoleh daripada stesen televisyen (TV) dan radio tempatan.

Dalam perkembangan lain, Man Senoi melahirkan rasa kesal apabila usaha mereka diganggu gugat oleh segelintir pihak.

"Ada cadangan supaya satu komuniti ditubuhkan bagi menyelenggara pengagihan royalti sedangkan kerja kami sudah buat dan berjalan serta hampir selesai.

"Jadi tak payahlah nak ditubuhkan lagi. Kami sudah penat-penat buat orang lain pula nak menangguk di air keruh. Kalau nak nasihat tiada masalah. Jangan dikeruhkan lagi keadaan.

"Saya bekerja dengan bekas pengurus Prism Sdn Bhd, Ong Peng Chu, bekas ahli jawatankuasa Prism Mahzan B dan Zaha Spring yang kesemuanya ada pengalaman luas dalam industri hiburan tanah air," katanya.

Menurutnya, sudah banyak fail berjaya diselesaikan mereka.

"Sudah nampak hasilnya banyak yang okay. Insya Allah bekas ahli Prism akan dapat hak mereka tak lama lagi. Kami hanya nak membantu sahaja dan jangan ada pihak nak memandai-mandai pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 12:54 PM