OTHMAN Masri. FOTO arkib NSTP
OTHMAN Masri. FOTO arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Isu berkaitan royalti penggiat seni masih belum berkesudahan apabila komposer Othman Masri atau Man Senoi mendakwa dianiaya oleh beberapa pihak tertentu.

Ia berikutan hanya 200 bekas ahli Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (Prism) yang dikatakan layak mendapat royalti RM500 daripada 1600 pelaku persembahan yang dikenal pasti.

Man Senoi, 68, meminta pihak yang bertanggungjawab dalam pengagihan royalti agar melakukan tanggungjawab dengan telus.

"Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, dah umumkan pembahagian agihan RM500 melalui Unlogged Performance Allocation (UPA) bernilai RM11.7 juta pada Januari lalu.

"Ia berbentuk wang yang diberi bagi membantu ahli, seperti yang diterima oleh ahli Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) terima.

"Kadar ini bukan mengikut jumlah penggunaan lagu oleh pelaku kerana ia datang daripada jumlah kutipan yang tidak dituntut bertahun-tahun," katanya.

Man Senoi berkata, bayaran UPA sepatutnya diberikan kepada semua ahli dan selepas itu disusuli dengan bayaran royalti.

Kemelut berkenaan royalti seakan menemui penyelesaian pada akhir Januari lalu apabila Rosol memberitahu pelaku akan mula menerima bayaran pendahuluan royalti tertunggak sebanyak RM500 setiap seorang, tiga hari selepas pengumuman dibuat pada 26 Januari.

"Kami dimaklumkan oleh pihak berwajib bahawa mandat hilang bersama karya kami. Mereka mendakwa MDI yang bertanggungjawab. Sekarang kami yang menjadi mangsa.

"Untuk sertai Prism, perkara pertama yang perlu adalah mandat. Apabila ada benda ini, barulah kita dapat lesen dari Prism dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)," katanya. 

Sementara itu Rosmin Hashim yang mengetuai jawatankuasa dibentuk secara sukarela oleh Caretaker Management Committee (CMC) MRM iaitu Prism Performers Verification & Claims Committee (PPVCC) bagi menyelesaikan isu agihan royalti tertunggak ahli Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) memaklumkan daripada 1,600 ahli dalam senarai daftar PRISM, hanya 396 ahli dikenal pasti mempunyai rakaman lagu pada 2018.

"Unlogged Performance Allocation (UPA) adalah bayaran pertama dan bayaran tetap yang sudah ditentukan badan pelesenan.

"Dalam situasi ini, badan terbabit RPM dan Prism. Bagaimanapun, bayaran kepada PRISM diwakili Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).

"Kriteria bayaran UPA adalah ahli perlu mempunyai rekod penggunaan lagu dalam tahun agihan. Untuk situasi ini ialah pada 2018. Bukan semua ahli Prism yang mempunyai rakaman lagu pada tahun itu," katanya.

Menurutnya, daripada senarai 396 ahli, 200 orang sudah menerima agihan bayaran pendahuluan royalti bersama kira-kira 1,100 ahli RPM.

"Kami mendapati 196 ahli Prism yang lain tidak mendapat agihan pendahuluan royalti disebabkan dokumen tidak lengkap.

"Salah satunya, mereka tiada mandat. Apabila tiada mandat, bayaran tidak dapat dibuat kepada pelaku.

"Bagi pihak MDI, kami mahu memudahkan cara dengan meletakkan syarat kepada mana-mana ahli yang tiada mandat, mengeluarkan akuan bersumpah bahawa mereka adalah ahli PRISM.

"Akuan bersumpah itu akan menjadi pengganti kepada mandat yang tiada dalam simpanan MDI. Jadi ahli Prism yang belum menerima bayaran perlu mengemukakan akuan bersumpah untuk tujuan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 6:11 PM