ZAHA Spring. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
ZAHA Spring. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

PEMAIN gitar kumpulan Spring, Mohd Adzhar Mohd Yusof atau Zaha sudah lima tahun tidak menerima bayaran royalti sebagai artis. 

Zaha berkata, kewujudan banyak badan yang ditubuhkan bagi menguruskan royalti sebenarnya 'merimaskan' apatah lagi ada badan yang diberi tanggungjawab itu diisytiharkan muflis oleh mahkamah.

Selain Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik ( MACP), beberapa lagi badan yang diberi tanggungjawab menguruskan kutipan royalti ialah Public Performance Malaysia ( PPM ), Recording Performers Malaysia ( RPM ), Badan Pengutip Royalti  Hak Pelaku dan Persembahan Artis ( PRISM ) dan Music Right Malaysia Berhad ( MRM ).

Menurutnya, pelbagai isu timbul sejak dulu hingga kini apabila artis sendiri  keliru pihak mana yang sepatutnya dirujuk bagi mengetahui royalti mereka terutama mereka yang aktif pada era 1960-an dan 1970-an.

"Apabila PRISM diisytihar muflis, sepatutnya RPM mengambil-alih tugas dengan menerima semua ahli PRISM bagi memudahkan penggiat seni atau artis untuk menerima royalti tahunan mereka. Namun, sebaliknya yang berlaku apabila MACP saja yang nampak lebih teratur, tetapi MACP hanya untuk komposer dan penulis lirik saja sedangkan tenaga - tenaga yang terbabit dalam industri muzik memang ramai termasuk di belakang tabir," katanya. 

Zaha berkata, dia difahamkan ada di antara badan berkenaan menyimpan sejumlah RM20 juta wang royalti tetapi belum diagihkan kepada artis.  

"Artis perlukan royalti berkenaan bagi meneruskan kehidupan dan pihak yang diamanahkan perlu menjalankan tugas dengan baik," katanya.

Zaha berkata, kerajaan perlu memandang serius isu royalti berkenaan dan perlu menubuhkan satu badan yang diberi tanggungjawab mengutip dan menguruskan royalti selain isu hak ciptaan yang bermasalah dan tidak diselesaikan sejak era Allahyarham Tan Sri P Ramlee lagi.

Katanya, kewujudan banyak badan yang diberi tanggungjawab itu bukan menyenangkan golongan artis terutama yang tinggal di luar Kuala Lumpur termasuk di Sabah dan Sarawak.

" Jika tiada satu penyelesaian konkrit mengenai isu royalti ini, ia sudah pasti tidak akan berakhir dan akan terus menjadi duri dalam daging kepada golongan artis dan industri muzik itu sendiri. Pelbagai usaha saya dan rakan - rakan lain lakukan  dengan harapan kerajaan memandang serius masalah ini dan selesaikan dengan penuh berhemah namun masih lagi kabur. "katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 9:24 AM