KOH MEI LEE
KOH MEI LEE
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Rangkaian pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) menyambut baik penutupan pawagam di seluruh negara buat sementara waktu seperti yang diumumkan Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE), semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif GSC, Koh Mei Lee berkata, tempoh penutupan bermula November itu akan digunakan sebaik mungkin untuk mempelbagaikan manfaat buat pelanggan mereka.

"Kami mengambil peluang dalam tempoh penutupan itu untuk menyusun atur pelbagai strategi dan inovasi untuk terus menghubungkan kami dengan penonton. Penting untuk sesuatu syarikat pawagam itu peka, mengadaptasi dan berkembang mengikut kepelbagaian seiring dengan peredaran zaman serta norma baharu. Kami tak sabar untuk memperkenalkan inisiatif yang sudah kami rancang," katanya.

Mei Lee berkata, pihaknya yakin dan opitimis bahawa semuanya akan kembali pulih selepas ini.

"Kita mungkin berdepan dugaan besar, tapi saya yakin selepas semua ini semua pawagam kita dapat dibuka semula. Kami mengalu-alukan kedatangan pelanggan dan penonton apabila kita dapat kembali ke pawagam dan menonton filem-filem menarik untuk musim cuti penghujung tahun nanti," katanya.

Antara inisiatif yang dilakukan GSC untuk mempelbagaikan perniagaan mereka adalah tempahan dewan secara bertutup (private) untuk tayangan filem serta permainan, e-dagang, cendera hati, persembahan secara langsung dan perniagaan restoran dan bar di Jin Gastrobar di Aurum Theatre.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 4:22 PM