KOH (dua dari kiri) bersama Takahashi (tiga dari kiri) dan Saraya (tiga dari kanan) bersama tetamu kehormat. - FOTO Genes Gulitah
KOH (dua dari kiri) bersama Takahashi (tiga dari kiri) dan Saraya (tiga dari kanan) bersama tetamu kehormat. - FOTO Genes Gulitah
Syafil Syazwan Jefri


PENGANJURAN kali kedua Festival Filem Jepun (FFJ) di Malaysia bermula Khamis lalu hingga 9 Oktober ini.

FFJ yang memasuki edisi ke-18 membawakan 12 filem terbaik dari Jepun dan ditayangkan di pawagam GSC di seluruh negara yang mengambil bahagian.

Ketua Pegawai Eksekutif GSC, Koh Mei Lee berkata, acara berprestij itu dianggap mampu menjadi sebagai penanda dalam menghidupkan semula industri pawagam selepas pandemik Covid-19.

"FFJ adalah satu daripada beberapa festival filem terawal yang ditayangkan di GSC. Kali ini kami menyajikan karya pelbagai genre dan dua daripadanya, Just Remembering dan Your Eyes Tell adalah karya yang dibawakan khas oleh GSC Group.

"Tahun ini, GSC sudah memasuki angka 35 tahun kewujudannya dan dua tahun kebelakangan ini, menjadi tahun mencabar buat industri pawagam.

"Walaupun perjalanan masih lagi sukar, kami kini kembali dapat menggerakkan ekonomi sekali gus menjana keuntungan," katanya.

Koh turut menyentuh mengenai persiapan GSC memacu industri seiring dengan Dasar Pandang Ke Timur yang genap 40 tahun diwujudkan.

"Bersempena 40 tahun sambutan ulang tahun Dasar Pandang Ke Timur, kami juga ingin terus maju sehingga 40 tahun ke hadapan dan seterusnya," katanya.

Sementara itu, Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko berkata, FFJ akan menjadi platform dan alasan untuk menarik penonton filem kembali ke pawagam.

PENGANJURAN kedua FJJ peluang rakyat Malaysia fahami adat, perkembangan sosial negara matahari terbit.
PENGANJURAN kedua FJJ peluang rakyat Malaysia fahami adat, perkembangan sosial negara matahari terbit.

"Tahun ini festival ini memberi peluang kepada kita untuk menyaksikan 12 filem dari Jepun pelbagai genre termasuk drama, dokumentari, romantik sehinggalah animasi.

"Semua sedia maklum, penonton hari ini lebih gemar menonton filem secara online, namun ini peluang untuk menarik mereka kembali ke pawagam lebih-lebih lagi apabila banyak pawagam di lima bandar utama turut mengambil bahagian.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Saraya Arbi berkata, filem mampu menjadi platform pertukaran budaya terbaik.

"Pertamadunan menjadi penuh warna-warni menerusi pertukaran ilmu pengetahuan. Ia termasuk acara kebudayaan seperti festival filem yang secara langsung menjadi medan pertukaran budaya.

"Filem memberikan impak besar dan berpotensi untuk sampai kepada jumlah penonton yang lebih luas, sekali gus menjadikannya sebagai satu karya seni yang penting.

"Saya berharap, FFJ ini akan diteruskan dan menjadi jendela kepada rakyat Malaysia untuk memahami adat, budaya dan perkembangan sosial masyarakat Jepun," katanya.

Sebanyak 12 karya yang ditayangkan adalah And So The Baton Is Passed, Anime Supremacy!, Blue, Blue Thermal, Cinematic Liars of Asahi-za, I Go Gaga: Welcome Home Mom, In The Wake, Intolerance, Inu-oh, Just Remembering, The Fish Tale dan Your Eyes Tell.

Tiket untuk FFJ kali ini dijual pada harga RM9.50 kecuali filem Just Remembering yang akan dijual dengan harga tiket normal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 6:47 AM