Ridzuan Abdul Rahman

PEMINAT filem tempatan sebelum ini mengenali Pencil Pictures & Records Sdn Bhd dengan karya kegemaran ramai menerusi filem Aku Ada Kau Ada, Tokan, Gamatisme dan Bo-Peng.

Bagaimanapun, perubahan drastik dilakukan menerusi filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD) arahan Rahila Ali yang berkonsepkan Islamik.

AADD yang membariskan pelakon seperti Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, Haris Ismail, Adam Corrie dan Fauziah Nawi pada mulanya berdepan ujian awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga memaksa penerbitnya, Datuk Ayu Puteh membuat keputusan menayangkannya menerusi saluran Astro First mulai 4 Jun lalu.

Berasakan filem ini menarik dan perlu ditonton semua golongan peminat, Ayu Puteh menayangkan semula AADD di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura bermula 10 September lalu.

Ayu berkata, dia menerima banyak mesej daripada peminat yang tidak sempat menonton filem ini di Astro First.

"Mereka nak menonton filem ini dan saya rasa permintaan mereka bukan satu beban yang berat untuk ditunaikan. Filem ini sewajarnya wajib menjadi tontonan umum kerana banyak mesej yang ingin disampaikan dan saya berharap ia dapat menjentik keinsafan dalam hati setiap penonton," katanya.

Menurutnya, AADD yang dihasilkan berdasarkan kisah benar akan ditayangkan di 70 pawagam seluruh negara.

"Bagaimanapun, saya dan penulis skripnya, Rudy Imran Shamsudin berbincang dan mengadakan sedikit perubahan bagi disesuaikan dengan situasi semasa.

"Filem ini memang dihasilkan untuk ditayangkan di pawagam, bukan di kaca TV. Syukur ia kini ditayangkan di pawagam. Untuk bercakap berkenaan kutipan, saya faham kita masih terikat dengan prosedur operasi standard (SOP). Apapun saya harapkan sokongan peminat terhadap filem tempatan," katanya.

AADD mengisahkan mengenai gadis berusia 19 tahun, Aurora yang dibesarkan di Eropah oleh keluarga bukan Islam sejak kecil.

Dia mencari identiti dirinya dan pertemuannya dengan Khaliq membuka jalan untuknya ke Malaysia bagi menjejaki ibu bapa kandungnya.

Sarat dengan mesej dan pengajaran, AADD menyentuh hati penonton dengan adunan muzik latar yang menarik.

Babak utama diiringi lagu OST berjudul Hakikat Jiwa nyanyian Datin Alyah serta dicipta Omar K, Ikhwan Fatanna dan Alyah.

Penggambaran AADD dibuat di beberapa lokasi menarik di Scotland dan Malaysia pada 2018.

POSTER filem Ada Apa Dengan Dosa.
POSTER filem Ada Apa Dengan Dosa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 6:20 AM