FOTO Aziah Azmee
FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri

LEBIH setahun tidak muncul dengan lagu baharu, sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan di dalam hati penyanyi dan pelakon, Amira Othman.

Mengakui terlalu cerewet dalam mencari material sesuai untuk dijadikan lagu, Amira berkata, dia tidak menafikan sikap itu ada kesan baik dan buruk buat kerjaya nyanyiannya.

"Masalah saya adalah agak cerewet dalam mencari material sesuai untuk dijadikan lagu baharu. Bukan cerewet kerana terlalu 'demand' atau apa, tetapi sebagai penyanyi, tentunya saya mahukan karya yang mampu membawa nama dan bakat melonjak naik dengan baik.

"Namun, sikap cerewet ini juga sedikit sebanyak memberikan kesan buruk kepada kerjaya seni saya yang hingga kini, masih tidak mendapat lagi karya lagu yang sesuai untuk dirakamkan," katanya.

Kali terakhir Amira tampil melancarkan lagu baharunya, menerusi lagu duet bersama adik tersayang, Irfan Haris berjudul Sambil.

"Lagu itu pun, tidaklah mendapat sambutan yang terlalu menggalakkan. Selepas itu, sebenarnya saya ada keluarkan satu lagu projek khas bersama Sufian Suhaimi. Namun, ia bukan lagu rasmi saya kerana itu OST filem," katanya.

Ditanya sama ada dia akan menjadikan gimik sebagai salah satu strategi untuk menaikkan namanya, Amira tegas menolak melakukan perkara itu.

"Mungkin lain orang, lain pendapatnya. Bagi saya, sekarang dah terlalu ramai orang gunakan gimik sebagai strategi promosi lagu. Jadi, apabila sudah terlalu ramai yang buat, mesti pendengar muzik akan dapat meneka dengan mudah.

"Pada saya, buat masa sekarang memang tak akan menggunakan gimik sebagai strategi pemasaran. Kalau boleh, biarlah lagu itu ada kualiti dan bukan sekadar untuk rakaman semata-mata. Paling utama, saya juga kena pastikan dapat menyanyikan lagu itu secara langsung," katanya.

Sehubungan itu, Amira menyifatkan segala pengalaman yang pernah ditimbanya akan menjadi pengajaran penting untuk meneruskan karier seni sebagai penyanyi dan pelakon.

"Saya suka mengambil apa yang berlaku itu sebagai pengajaran buat diri sendiri. Sekarang, saya mula faham, sebagai penyanyi perlu sentiasa ada material lagu baharu bagi memastikan kelangsungan kerjaya yang berterusan.

"Justeru, selepas ini saya merancang akan segera mencari lagu baharu, sebagai usaha memastikan sentiasa konsisten dalam rakaman lagu tanpa perlu menunggu terlalu lama," katanya.

Mengulas perkembangan terbaharu, Amira memaklumkan dia berganding dengan rakan baiknya yang juga penyanyi Wany Hasrita dalam satu program berjudul ICU yang diterbitkan dan akan ditayangkan di platform digital patuh syariah dikenali Nurflix.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 6:30 AM