LIRIK lagu Tragedi adalah hasil tulisannya yang disimpan sejak 2011.
LIRIK lagu Tragedi adalah hasil tulisannya yang disimpan sejak 2011.
Najiy Jefri


SELEPAS muncul dengan lagu Surat Akhir awal tahun ini, penyanyi Amira Othman kini tampil dengan sebuah lagi buah tangan terbaharu berjudul Tragedi.

Lagu Tragedi turut dipilih menjadi runut bunyi (OST) siri Malaysian Ghost Stories.

Drama bersiri bergenre seram itu mula ditayangkan pada 25 Ogos lalu dan bersiaran selama 48 episod dengan menampilkan pelakon popular seperti Janna Nick, Zahiril Adzim, Ara Johari dan ramai lagi.

Amira berkata, Tragedi dihasilkan sejak 2011, namun ketika itu dia belum berkecimpung sebagai penyanyi profesional.

"Sebenarnya lagu ini sudah dicipta sebelum saya menyertai program Akademi Fantasia lagi. Waktu itu saya berangan-angan untuk menjadi penyanyi. Melodinya mendapat sentuhan istimewa komposer yang disegani iaitu Sharon Paul, manakala liriknya adalah nukilan saya sendiri," katanya.

Amira yang popular menerusi lakonannya dalam drama Abang Bomba I Love You bersyukur kerana rezekinya mencurah-curah walaupun dalam keadaan pandemik di mana semua orang terkesan.

"Alhamdulillah rezeki tak pernah salah alamat selepas sentiasa bersemangat untuk meneruskan kerjaya seni saya.

"Walaupun single Surat Akhir baharu tiga bulan dilancarkan, saya menerima panggilan daripada pengarah, Izuan Mokhtar yang menyatakan keinginannya untuk menggunakan lagu saya sebagai OST Malaysian Ghost Stories," katanya.

Tragedi menceritakan kisah sedih dalam percintaan apabila kehilangan orang yang tersayang ibarat sebuah tragedi.

"Rakaman asal lagu ini pada 2011 terpaksa dirombak semula kerana tona vokal yang berbeza. Jadi, pihak pengurusan mencadangkan ia diolah semula pada Mei lalu. Proses rakaman tidak mengambil masa lama kerana saya sudah menghafal lagu itu, lebih-lebih lagi ia adalah lagu pertama ciptaan saya sejak menceburi industri nyanyian dan ia mempunyai nilai sentimental yang tersendiri," katanya.

Amira mula mengorak langkah sebagai penyanyi sejurus menyertai program realiti AF musim ke-10 pada 2013.

AMIRA kini muncul dengan single Tragedi.
AMIRA kini muncul dengan single Tragedi.

Single Hati-Hati melonjakkan namanya sebagai penyanyi arus perdana, sekali gus membuka lebih banyak peluang dalam bidang seni.

"Saya sangat cerewet apabila menghasilkan sesebuah karya. Namun, saya belajar daripada kesilapan lalu dan tak akan mengambil tempoh lama untuk mencari material yang seterusnya," katanya.

Siapa sangka selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu membuka ruang buat Amira menjadi duta produk dan melakukan pelbagai aktiviti di rumah.

"Sepanjang tempoh PKP, banyak perkara yang dapat saya lakukan di rumah. Namun, ketika dunia diuji dengan pandemik Covid-19, saya menyeru supaya kita juga sentiasa menolong satu sama lain dan rajin-rajin menghubungi keluarga, kawan-kawan atau sesiapa saja yang mengalami mungkin kemurungan. Dengan bersilaturahim dapat mengekalkan ukhuwah sesama kita, Insya-Allah.

"Saya juga berharap semua peminat muzik tempatan dapat mendengar single Tragedi dan menerimanya dengan baik. Saya juga berharap nama saya terus kekal relevan dalam industri muzik Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment, Jipie berkata, dia melihat Amira adalah bintang yang akan terus menyinar dalam industri seni.

"Amira adalah penyanyi yang wajar dijadikan contoh kerana imej bersih yang ditonjolkannya.

"Selain itu, dia juga mempunyai kemahiran menulis lirik yang baik dan sentiasa bekerja keras, lebih-lebih lagi dia amat teliti dengan produk yang ingin dihasilkan.

"Saya berharap lagu Tragedi mendapat perhatian ramai tambahan pula ia dipilih sebagai OST Malaysian Ghost Stories yang pastinya mempunyai peminat tersendiri," katanya.

Muzik lirik video lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi YouTube Rocketfuel Network dan boleh didengar di platform digital seperti Spotify, Joox, Itunes, Deezer dan Kkbox.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 6:10 AM