Siti Nurhaliza bersama album ManifestaSITI2020.
Siti Nurhaliza bersama album ManifestaSITI2020.
Sudirman Mohd Tahir


Dalam tempoh kurang seminggu, album fizikal (CD) penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sudah terjual hampir 4,000 unit.

Album studio ke-18 yang dilancarkan pada 3 Julai itu juga sudah memasuki penjualan keluaran ketiga selepas yang pertama dan kedua habis dijual.

Siti berkata, pihaknya menjangkakan keluaran keempat album itu dapat dimulakan pertengahan Julai ini.

"Perkembangan penjualan CD fizikal album ManifestaSITI2020 sudah masuk peringkat ketiga. 'Batch' pertama dan kedua sudah habis terjual dan sekarang 'batch' ketiga sedang berjalan.

"Alhamdulillah, sekarang sudah hampir 4,000 unit terjual. Kami bersedia untuk peringkat keempat dan dijangka pada pertengahan Julai akan dapat mulakan," katanya kepada Harian Metro.

Menariknya, penjualan album kali ini menggunakan khidmat 2,000 Affiliate SNP yang diwujudkan syarikat Siti iaitu Siti Nurhaliza Productions (SNP).

"Sambutan baik setiap hari dan mewujudkan Affiliate SNP di bawah SNP On Pay adalah satu medium yang baik. Di samping dapat menjual album dalam talian dengan baik dan lancar, sistem ini membolehkan SNP mengirim pesanan CD ke Indonesia, Singapura dan Brunei.

"Affiliate ada 2,000 orang dan kebanyakan adalah Sitizoner (SZ) sebab memang niat saya nak bantu SZ menerusi sistem ini. Apatah lagi selepas ini ada banyak lagi barang jualan

"Affiliate ini tidak kisah duduk di mana. Malah ada dari Singapura, Indonesia dan Brunei. Sebab kerja mereka hanya berkongsi pautan dan mendapatkan jualan," katanya.

Ditanya mengenai sasaran penjualan album kali ini, Siti yang popular menerusi lagu 7 Nasihat tidak menyasarkan sebarang angka.

"Kami hanya menjual sebanyak mungkin sepanjang waktu berjalan. Tidak kisah dari segi jumlah.

"Terima kasih atas dukungan anda terhadap album ini. Saya dan seluruh pasukan sangat menghargainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 5:41 PM