LAGU berjudul Anakanda khas ciptaan Siti buat anak lelaki yang bakal dilahirkannya tidak lama lagi.
LAGU berjudul Anakanda khas ciptaan Siti buat anak lelaki yang bakal dilahirkannya tidak lama lagi.
Sudirman Mohd Tahir


TANGGAL 1 April lalu, genap 25 tahun pembabitan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam industri muzik tanah air.

Sepanjang tempoh itu, pelbagai kejayaan pernah diraihnya termasuk melakar nama di peringkat antabangsa sekali gus menjadikan Siti, 42, satu-satunya artis tempatan yang mendapat ratusan anugerah dalam dan luar negara.

Pencapaian diraih Siti itu turut mengukuhkan nama dan kerjaya seninya sehingga mendapat jolokan penyanyi nombor satu negara.

Seiring kematangan usia dalam bidang nyanyian, Siti ternyata tidak mahu membataskan diri dalam berkarya apabila menerbitkan pelbagai genre lagu termasuk album studio.

Biarpun cemerlang dalam album komersial, sempena 25 tahun ini Siti mencipta kelainan apabila tampil berani melancarkan album lagu kanak-kanak berjudul Legasi.

Kejayaan single Comel Pipi Merah yang dicipta dan dihasilkan khas buat anak sulungnya, Siti Aafiyah pada 2019 mendorong Siti untuk menerbitkannya dalam satu album kanak-kanak pula.

Diberikan rezeki hamil anak kedua dan dijangka melahirkan anak lelaki tidak lama lagi, Siti turut merakamkan lagu khas buat bayinya berjudul Anakanda dan turut dimuatkan dalam album Legasi itu.

"Bagi penerbitan album ini, saya menaruh kepercayaan penuh kepada penerbit muda, Pown Hasril bagi memberikan sentuhan baharu dan segar untuk keseluruhan lagu yang ditampilkan. Pada masa sama, saya juga sempat menyiapkan dua video muzik sebelum berehat untuk persediaan melahirkan anak dan berpantang.

"Alhamdulillah, video muzik lagu Medley Klasik Siti 1 dilancarkan pada 1 April lalu di saluran YouTube saya iaitu Siti Nurhaliza yang penghasilannya mendapat kerjasama daripada syarikat Beausiti dan Wonderlab.

"Sebuah lagi video muzik ialah menerusi lagu ciptaan saya untuk anak lelaki yang bakal lahir berjudul Anakanda. Video muziknya turut mendapat tajaan syarikat Cuckoo dan akan dilancarkan dalam bulan ini juga," katanya.

Album Legasi mengandungi tujuh lagu dan mempunyai 10 track termasuk interlud. Sebuah lagi lagu ciptaan Siti sebelum ini iaitu Comel Pipi Merah turut dimuatkan di dalam album istimewa ini.

Lagu lain adalah Anakku Sayangku (lagu asal Anakku Sazali), Medley Klasik Siti 2, Bintang Kecil dan Burung Kakak Tua.

"Album terbitan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd (SNP) ini terdapat dalam bentuk digital dan album fizikal. Bermula 1 April lalu, pencinta muzik dan peminat

boleh mendapatkan album penuh Legasi ini di seluruh platform digital. Malah, pihak SNP juga memberi kepercayaan kepada syarikat Universal Music Sdn Bhd sebagai pengedar.

"Untuk album fizikal atau cakera padat (CD) pula boleh dilanggan di platform snp.onpay.my atau menerusi Affiliate SNP yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 6:55 AM