Siti Nurhaliza bangga dengan kejayaan album SimetriSiti. FOTO Arkib NSTP.
Siti Nurhaliza bangga dengan kejayaan album SimetriSiti. FOTO Arkib NSTP.
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza, 38, diumumkan Artis Tempatan Paling Tinggi Jumlah Penstriman sepanjang 2017 di aplikasi Spotify.

Penyanyi antarabangsa, Ed Sheeran pula Artis Penstriman Paling Tinggi secara keseluruhan.

Siti berkata, pencapaian itu membuktikan penjualan lagu atau album menerusi platform digital lebih popular sekarang.

“Alhamdulillah ini berita gembira untuk album SimetriSiti yang dilancarkan Mei lalu. Saya selalu percaya karya yang baik dan berkualiti pasti mampu diterima baik.

“Tambah pula lagu-lagu dalam album ini bukti kematangan saya sepanjang 21 tahun dalam industri.

“Terima kasih kepada semua pihak terutama peminat yang sentiasa percaya dengan karya dihasilkan,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia dan Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd (SNP) selaku penerbit album mengakui penjualan lagu atau album secara muat turun dan digital lebih mendapat perhatian.

“Disebabkan itu, SNP tidak mahu ketinggalan dengan perkembangan semasa dan sentiasa mencari peluang baru untuk memasarkan karya.

“Sebagai penerbit dan penyanyi, saya akui apa yang terkini dari segi pemasaran. Dalam masa sama, saya juga masih mengeluarkan album berbentuk CD kerana permintaan terhadap album fizikal masih ada.

“Hasilnya, album SimetriSiti dapat dipasarkan dengan baik,” katanya.

Penyanyi lain turut disenaraikan dalam carta top 10 adalah Faizal Tahir, Malique, Yuna, Unic, Tajul, Aiman Tino, Hyper Act, Sufian Suhaimi dan Projector Band.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 7:37 PM