MARHAINI
MARHAINI
Najiy Jefri

SELEPAS berjaya mencatat lebih 1.6 juta tontonan menerusi program Malaysia #QuranTime dengan misi Musa'adah Covid-19 yang dilancarkan pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, TV Alhijrah dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) kini membawakan sebuah program baharu berjudul My #QuranTime bermula esok.

Memilih objektif 'mengQurankan bangsa, mengIkhlaskan ummah', program baharu itu dianggarkan mengambil tempoh hampir tiga tahun untuk khatam tadabbur seluruh 114 surah dalam al-Quran bagi mengekalkan pendekatan mengajak orang ramai berinteraksi dengan kitab suci itu menerusi kaedah baca, faham dan amal.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, My #QuranTime adalah program televisyen yang pertama dalam sejarah akan mengajak penonton untuk sama-sama mentadabbur al-Quran dari halaman pertama hingga halaman 604 iaitu halaman terakhir, selama satu jam setiap hari.

"My #QuranTime dianggap lebih menyeluruh berbanding program Malaysia #QuranTime sebelum ini yang hanya memfokuskan kepada surah pilihan di dalam memberi sokongan dan solusi ke atas isu Covid-19)," katanya.

My #QuranTime merangkumi 604 episod ditayangkan di TV TV Alhijrah setiap hari mulai jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari.

Marhaini berkata, WUIF yang bertanggungjawab ke atas isi program My #QuranTime juga memperkenalkan bahagian penyelidikan dan pembangunan (kandungan) serta kawalan kualiti bagi memantau pengisian program sebelum dan semasa program berlangsung.

Menurutnya, WUIF turut berharap usaha penelitian terhadap ayat al-Quran turut didokong dengan kerjasama pakar al-Quran dan sunah terdiri daripada institusi pengajian tinggi (IPT), organisasi serta individu terbabit secara langsung dengan pengkajian ilmu al-Quran dan sunah.

"Penyelidikan dan pembangunan merujuk tafsir al-Quran yang muktabar dan ulum hadis secara usaha sama pelbagai pihak ini adalah langkah perlu dilaksanakan agar dapat memberi impak kepada diri, keluarga, organisasi, komuniti, negara dan global.

"Kajian daripada pakar dan ilmuwan wajar dikongsikan bagi melahirkan satu resolusi dan 'call to action' supaya al-Quran dapat memberikan implikasi nilai mulia di sudut akidah, syariat dan akhlak kepada penonton berdasarkan sebab turunnya ayat (asbabun nuzul) dan daripada perumpamaan dinyatakan al-Quran," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alhijrah Media Corporation, Namanzee Harris berkata, dia percaya My #QuranTime ini sangat dekat di hati dan berbeza dengan rancangan sedia ada.

"Ini kerana selain mengangkat kalam suci Allah sebagai mukjizat teragung yang mendamaikan dan mengembalikan keharmonian global, keistimewaan program ini turut terletak pada keupayaannya menghubung serta menyimpul solidariti ummah.

"Ini kali pertama kita meneroka dan menerbitkan program yang akan disiarkan berterusan selama hampir tiga tahun di platform televisyen dan FB Live TV Alhijrah.

"Secara peribadi, saya yakin rancangan ini mampu menjadi pedoman kehidupan buat penonton tidak kira di mana mereka berada.

"Dalam jangka masa tiga tahun ini kita turut bercadang menganjurkan acara lapangan khusus bagi mempromosi My #QuranTime. Ini termasuk mengadakan rakaman di agensi kerajaan, badan korporat dan swasta. Oleh yang demikian, kerjasama pihak korporat yang berminat untuk menaja amatlah dialu-alukan" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 6:30 AM