RAJA Zarith Sofiah bersama peserta lain membaca Surah al-Jumu'ah pada World #QuranHour di Masjid Negara, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
RAJA Zarith Sofiah bersama peserta lain membaca Surah al-Jumu'ah pada World #QuranHour di Masjid Negara, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyertai program World #QuranHour 2024 di Masjid Negara, di sini, hari ini.

Raja Zarith Sofiah tiba di Masjid Negara jam 11.45 pagi bagi bersama-sama mengikuti program World #QuranHour Ummah yang membawa tema #GrandReset: Kesatuan & Transformasi Sosial.

Edisi kali kesembilan itu mengangkat surah Al-Jumu'ah sebagai surah utama dan ia bersiaran secara langsung di lima stesen televisyen utama selain media sosial selama sejam bermula jam 12 tengah hari sehingga jam 1 tengah hari.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Marhaini Yusof selaku penganjur berkata, panduan daripada Surah Al-Jumu'ah adalah model bagi membina kesatuan dan transformasi sosial ummah yang kuat dan jitu.

"Ini kerangka fikir yang dibawa dalam Surah Al-Jumu'ah yang ingin dipasakkan dalam diri pemimpin, agamawan dan ummah secara keseluruhannya. Kita mahu masyarakat di seluruh dunia berubah dengan al-Quran.

"Golongan ulama dan pemimpin diharapkan bergabung untuk membimbing ummah. Ummah #GrandReset mensasarkan tiga golongan iaitu Ulama, Umara' dan Ummah untuk melakukan transformasi sosial sebagai formula menuju kemenangan akhir zaman," katanya pada program berkenaan.

Barisan Panji Surah Al-Jumuah pada world #QuranHour terdiri daripada Qari Ustaz Abdul Khair Jalil, Ustaz Asem Othman Abdul Karim, dan Ustaz Ahmad Tarmizi.

Perkongsian tadabbur disampaikan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF Fazrul Ismail dan Pengarah Pusat Tadabbur Ustaz Syaari Abdul Rahman, manakala Pesan Tokoh dibawakan oleh Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim dan bacaan doa penutup oleh Imam Besar Masjid Negara Ehsan Hosni.

Sementara itu, bacaan ikrar al-Quran diketuai penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Munqiz Mohd Subki.

Raja Permaisuri Agong sempat beramah mesra bersama kira-kira 4,000 orang yang hadir sebelum berangkat meninggalkan majlis berkenaan.

Turut hadir Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Menteri Pendidikan Fadlina Sidek, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Asli Abd Halim dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Lapan lokasi di enam negara sebagai hotspot world #QuranHour membabitkan Singapura, Brunei, Indonesia, Bangladesh, Thailand, Arab Saudi, manakala 5,193 hotspot didaftar pelbagai organisasi bagi penganjuran serentak di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 3:01 PM