Sudirman Mohd Tahir & Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Kurang kesedaran, gaji kecil dan kesempitan hidup antara sebab penggiat seni membabitkan pekerja belakang tabir tidak mahu mencarum i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kru teknikal yang hanya mahu dikenali sebagai Zack, 40, berkata, dia masih belum terbuka untuk mencarum KWSP disebabkan kekangan kewangan.

Katanya, dia yang juga kru bebas dan tidak terikat dengan satu-satu syarikat produksi memilih untuk membuat simpanan sendiri.

"Kru atau pekerja belakang tabir seperti kami ini memang tidak pernah ada pendapatan tetap. Malah, kebanyakan daripada kami adalah freelancer. Kalau ada kerja, adalah gaji. Begitu pula sebaliknya.

"Jadi, apabila bercakap soal caruman KWSP ini, bagi saya ia sesuatu yang berat dan sukar untuk dibuat. Nak kata gaji besar, memang tidak. Lagi sedikit adalah. Jadi, apa yang diperoleh itu adalah pendapatan penuh kami. Gaji kami bukan macam pekerja pejabat yang dibayar secara bulanan. Kami dibayar mengikut job (tawaran kerja).

"Sama macam orang lain, gaji diterima itu jugalah digunakan untuk membayar segala komitmen sedia ada. Kalau ada lebih, kita simpan. Jika sebaliknya, terpaksa pula berhutang atau tangguh bayaran," katanya.

Zack berkata, menjadi harapan buat dirinya dan rakan seangkatan lain jika persatuan berkenaan dapat bekerjasama dengan agensi terbabit untuk membincangkan mekanisme yang terbaik dalam membantu golongan penggiat belakang tabir.

"Siapa yang tidak mahukan keselesaan pada masa hadapan kan? Cuma, apabila memikirkan soal kekangan kewangan, ini yang membantutkan lagi niat untuk mencarum. Jadi, kalau pihak persatuan dapat memikirkan mekanisme terbaik untuk golongan seperti kami mencarum, amatlah dialu-alukan.

"Mungkin juga ada yang sudah mencarum, tapi lebih banyak lagi yang tidak. Bukan menidakkan atau tidak menyokong usaha dibuat pihak KWSP, tapi masalah utama kebanyakan penggiat belakang tabir ketika ini adalah kewangan dan pendapatan yang kecil," katanya.

Heykal
Heykal

KEKANGAN GAJI KECIL


"Realitinya, kebanyakan pekerja belakang tabir mempunyai pendapatan yang kecil. Walaupun i-Saraan ini adalah sukarela dan jumlah potongan tidak terhad, ia bukan semudah yang difikirkan. Ini kerana, jumlah potongan itu akan mempengaruhi pendapatan mereka," kata pengarah dan penerbit drama, Heykal Hanifah, 49.

Heykal berkata, mereka yang berpendapatan rendah pasti akan berfikir berapa banyak yang tinggal selepas mencarum nanti.

"Bayangkan kalau untuk satu penerbitan telefilem, gaji mereka hanya lebih RM1,000. Tentu saja jumlah itu akan menjadi lebih sedikit jika sudah mencarum.

"Bagi mereka, jumlah potongan atau caruman itu masih dianggap besar untuk taraf ekonomi penggiat belakang tabir ini. Apa yang difikirkan juga adalah lebih baik jumlah potongan itu dibelanjakan bagi kegunaan harian," katanya.

Bagaimanapun, menurut Heykal, mentaliti sebegitu sepatutnya diubah dan segelintir mereka itu dilihat lebih kepada tidak memikirkan soal masa depan.

"Segelintir orang susah nak dengar apa yang kita cuba sampaikan. Ia mentaliti yang sudah tertanam dalam diri. Mereka ini tak nampak masa depan jika mencarum.

"Namun, kita tidak boleh juga salahkan mereka kerana pada akhirnya i-Saraan ini masih bersifat sukarela dan tidak ada paksaan. Bagi yang sudah mencarum, saya percaya mereka memandang jauh dan pentingkan soal masa depan," katanya.

Menurutnya, soal caruman KWSP ini pernah dibawa berbincang bersama bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Hans Isaac dan TV3 pada 2019.

"Ketika Hans menjadi Pengerusi Finas dia ajak saya untuk bermesyuarat bersama pihak TV3 dan KWSP. Mekanisme kita nak buat ketika itu adalah TV3 selaku majikan akan membuat caruman kepada semua kru. Pendek kata, TV3 nak carum berdasarkan job diberikan kepada penerbit drama.

"Ketika itu syarikat produksi saya menjadi eksperimen untuk projek ini. Bagi saya ia sesuatu yang bagus. Sekurang-kurangnya, kru produksi ada caruman dan jaminan masa depan mereka. Namun, perkara ini terhenti disebabkan Hans dan individu di TV3 itu tidak lagi memegang jawatan masing-masing.

"Cuma, jika ia dapat diteruskan pun cabaran untuk meyakinkan kru untuk mencarum itu mungkin agak sukar. Sebabnya macam yang saya katakan tadi. Kalau dalam kalangan kru produksi saya mungkin mereka dengar cakap lagi, tapi yang lain tu macam mana? Walaupun secara sukarela, ia tetap tak mudah," katanya.


SARAN INSENTIF KHAS


Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) mencadangkan pemberian insentif khas kepada penggiat seni yang sudah atau belum mencarum i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai satu galakan untuk mereka mencarum secara konsisten setiap tahun.

Presidennya, Khalil Salleh berkata, berdasarkan data sedia ada hampir 50 peratus ahli Profima masih tidak mencarum secara konsisten walaupun sudah mempunyai akaun i-Saraan.

"Profima mengharapkan satu bantuan atau insentif khas kepada semua penggiat seni melalui persatuan perfileman yang diiktiraf Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). Matlamat utamanya adalah untuk menggalakkan mereka membuka akaun i-Saraan KWSP, termasuklah penggiat seni yang sudah tidak aktif mencarum.

"Saya pernah mengusulkan cadangan ini kepada Menteri Kewangan sebelum ini. Ketika itu, saya mencadangkan insentif khas sebanyak RM50 kepada penggiat seni sebagai kesedaran untuk mereka mencarum.

"Walaupun nilainya kecil tapi sekurang-kurangnya dapat memberi satu lonjakan yang besar kepada pihak kementerian. Bagaimanapun idea ini belum dapat dilaksanakan," katanya.

Menurutnya, Finas yang bertindak sebagai agensi kerajaan bagi industri filem di negara ini perlu memainkan peranan penting dalam memastikan setiap penggiat seni membuat caruman yang dibuat adalah skim caruman sukarela.

"Antara cadangan Profima adalah meletakkan syarat baharu kepada setiap syarikat produksi yang memohon kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) dari Finas untuk mengemukakan rekod caruman i-Saraan bagi setiap penggiat seni yang bakal terbabit terlebih dahulu.

"Dalam masa sama, Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafim) sedang giat untuk memastikan idea ini menjadi salah satu syarat wajib kepada semua pekerja-pekerja yang terbabit dalam industri filem termasuk artis yang akan diumumkan oleh menteri nanti.

"Selain itu, penerima Dana Kandungan Digital (DKD) perlu diberi penekanan mengenai perkara ini. Walaupun tidak boleh dibuat syarat wajib tetapi setiap penerima perlu memastikan pekerja mereka sudah membuat potongan i-Saraan KWSP," katanya.

Dalam masa sama, Khalil berkata, masih ramai dalam kalangan kru yang tidak mempunyai kesedaran mengenai caruman i-Saraan KWSP.

"Sepatutnya pekerja bebas khususnya penggiat belakang tabir baik dalam penerbitan drama atau filem mempunyai kesedaran tinggi mengenai caruman simpanan hari tua ini selepas berdepan ujian besar sewaktu pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu apabila tidak dapat membuat pengeluaran khas di KWSP. Jadi kesedaran yang lebih meluas harus diberikan supaya mereka tidak terkesan pada usia tua nanti," katanya.


TUMPU KEBAJIKAN PENGGIAT SENI


Kementerian Komunikasi sedang dalam perbincangan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melihat kebajikan penggiat seni dari sudut keselamatan dan simpanan hari tua

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya kini mempunyai lebih masa untuk memberi tumpuan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) selepas penstrukturan semula Kementerian Komunikasi dan Digital yang dipisahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital bagi melihat aspek kebajikan kru belakang tabir dan pelakon.

"Saya ingin melihat bagaimana kita boleh membantu ke arah menyediakan skim Perkeso bagi pekerja termasuk pekerja bebas dalam sektor perfileman yang membolehkan mereka mendapat pencen ilat, sebagai contoh.

"Waktu ini caruman bagi individu tidak membolehkan mereka mendapat pencen ilat, tapi saya lihat pelakon atau terutamanya kru, mereka menggunakan tubuh badan sebagai alat untuk bekerja. Kalau ada berlaku apa-apa kesannya seumur hidup.

"Jadi, bertitik tolak dari situ saya tersentuh dan terpanggil untuk melakukan perbincangan mendalam susulan pertemuan saya bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso beberapa hari lalu. Saya harap setidak-tidaknya aspek KWSP dan Perkeso ini akan menjadi asas untuk menjaga kebajikan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 6:00 AM