PENGGAMBARAN
PENGGAMBARAN
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penggiat seni tanah air gembira dengan keputusan kerajaan membenarkan aktiviti penggambaran di dalam dan luar studio di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai hari ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pengarah Eoon Shuhaini berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi peluang buat penggiat seni meneruskan penggambaran di luar'.

"Sebelum ini dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami ada masalah untuk penggambaran di luar. Alhamdulillah, kami lega apabila kerajaan umumkan negeri-negeri yang ditakrifkan PKPB dan PKPP membenarkan penggiat seni boleh buat penggambaran.

"Biasanya penggambaran drama banyak dibuat di luar. Terima kasih KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) kerana mereka antara badan yang bersusah payah memohon kepada MKN untuk kebenaran penggambaran di luar dan ikut SOP," katanya.

Penerbit dan pengarah Shahrulezad Mohameddin mengalu-alukan keputusan kerajaan itu kerana ia memudahkan lagi kerja mereka dan memberi ruang kerja lebih fleksibel.

"Ia adalah berita gembira kepada kami sebagai pemain industri," katanya yang kini menyiapkan penggambaran dua drama di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, pengarah Heykal Hanifah bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang berusaha untuk membuat keputusan ini.

"Walaupun larangan ini tak terlalu lama, tapi impaknya sangat besar kepada golongan karyawan industri kreatif ini.

"Masyarakat mungkin nampak orang seni seperti semuanya okay tapi sebahagian besar khususnya pembikin dan juga artis yang hanya bergantung pada berlakon sepenuh masa sangat terkesan dengan situasi ini. Orang seni di negara kita tak sama dengan penggiat seni di negara luar. Jadi janganlah dibandingkan dengan mereka," katanya.

Sementara itu, pelakon Muaz Fitri gembira dengan kebenaran yang diberikan.

"Sebagai pelakon, saya bersyukur dan lega kerana boleh kembali bekerja seperti biasa. Sebelum ini banyak juga babak yang tertunda disebabkan PKP ini," katanya yang kini membintangi drama Duit untuk Astro First.

Harian Metro semalam melaporkan, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran beberapa lagi aktiviti industri kreatif termasuk kebenaran mengadakan acara langsung dengan kehadiran penonton dan penggambaran di luar studio.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 7:39 PM