SITI Fazurina ditawar pegang watak utama drama Bos, Mama Kirim Salam terbitan TV AlHijrah. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SITI Fazurina ditawar pegang watak utama drama Bos, Mama Kirim Salam terbitan TV AlHijrah. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Norhayati Nordin


SEKITAR 13 tahun lalu, nama pelakon Siti Fazurina Mohd Famir, 38, cukup jadi perhatian menerusi drama seperti Dunia Anita dan Puteri di TV3.

Meskipun pernah menyepi seketika daripada kerjaya seni, namun minat mendalam sebagai pelakon akhirnya mendorong Siti Fazurina aktif semula.

Pun begitu, wanita yang mesra dengan sapaan Nina ini pernah juga mencuba nasib dan mengembangkan bakatnya dalam pengacaraan.

Namun, untuk 2020 ini ternyata Siti Fazurina kembali mewarnai industri lakonan sebagai watak utama dalam drama Bos, Mama Kirim Salam di TV AlHijrah (TVAH).

Melakonkan watak Puan Kayla, seorang ahli perniagaan yang mempunyai seorang anak gadis diakui Siti Fazurina agak mencabar baginya.

“Terus-terang, sebelum terbabit dengan drama Bos, Mama Kirim Salam ini saya pernah menjadi pengacara untuk program Soal Wanita di TVAH.

“Dari situ, saya mula mengenali persekitaran kerja di stesen TV ini yang boleh disifatkan santai, menjurus kekeluargaan dan banyak isu ilmiah buat penonton,” katanya.

Apapun, ketika mendapat tawaran untuk watak Puan Kayla itu memang ambil masa untuk berfikir-fikir juga. Ini kerana, terbit kebimbangan di hati.

“Saya tak tahu nak terima atau tidak watak berkenaan kerana berasakan mungkin ada pelakon wanita lain yang lebih sesuai melakonkannya.

“Ditambah lagi, saya belum bergelar ibu dan mempunyai anak. Barangkali, kurang layak tetapi yang pasti masih hadir menjalani uji bakat diadakan TVAH,” katanya.

Tidak menduga watak Puan Kayla itu menjadi miliknya, Siti Fazurina berkata, sebagai pelakon dia menganggap ia satu penghargaan.

“Jadi, untuk persediaannya saya cuba mantapkan aspek penampilan dengan muncul elegan, lebih berkarisma dan tampak agak matang.

“Ia perlu seiring dengan usia sebagai wanita lewat 40-an yang memiliki seorang anak gadis berusia 20-an dan sudah berkerjaya,” katanya.

Mengakui tertarik dengan skrip drama Bos, Mama Kirim Salam, Siti Fazurina berkata, kisah jalan ceritanya lebih ke arah pekerjaan dalam dunia penyiaran.

“Secara keseluruhan lokasi penggambaran drama ini dilakukan di stesen TVAH. Ia ternyata pengalaman sangat menyeronokkan.

“Yang paling sangat suka, setiap kali masuk waktu solat kami akan berhenti penggambaran. Dalam erti kata lain, kami tak kejar babak untuk disiapkan tetapi kualiti,” katanya.

Mengulas juga projek lakonannya yang lain, Siti Fazurina berkata, dia akan terbabit membintangi drama Mencari Kiblat Cinta sebanyak 26 episod dan Derhaka Cinta Jebat juga 26 episod untuk RTM.

Sehubungan itu, drama Bos, Mama Kirim Salam yang diterbitkan buat pertama kali oleh pasukan produksi TVAH menampilkan barisan pelakon seperti Qazem Nor, Carolina Binr dan Zee Khan Hussein.

Diarahkan kakitangan TVAH dikenali Wan Hussin Wan Ismail, drama Bos, Mama Kirim Salam ini mempunyai 36 episod, disiarkan setiap Khamis dan Jumaat, jam 6.30 petang.

Sebagai drama ‘patuh syariah’, TVAH sudah menyiarkannya kepada penonton mulai 6 Februari lalu dan sambutan diterima agak positif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 6:30 AM