NAIM ketika hadir di konti HOT FM. FOTO NSTP
NAIM ketika hadir di konti HOT FM. FOTO NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON yang juga penyanyi lagu Sumpah, Naim Daniel menerima hadiah jam tangan daripada pelawak yang juga penyampai radio, Shuib Sepahtu.

Naim ketika dihubungi berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Shuib yang sanggup melepaskan jam tangan kesayangannya itu.

"Saya sendiri pun tak sangka akan terima hadiah daripada Abang Shuib. Katanya, dia selalu tengok saya bagi hadiah kepada peminat setiap kali buat persembahan di mana-mana lokasi.

"Jadi, dia ambil semangat saya itu dan buat kejutan dengan memberikan jam tangan kesayangannya kepada saya. Memang saya rasa sangat gembira dengan hadiah ini," katanya kepada Harian Metro.

Naim menerima hadiah itu pagi semalam ketika hadir ke konti Hot FM untuk ditemubual selepas kemenangannya di Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34).

Selain itu, Naim kini sedang menyiapkan lagu baru untuk penyanyi, Siti Sarah yang juga isteri kepada Shuib.

"Insya-Allah, saya kini sedang siapkan lagu untuk Kak Sarah berjudul Sudah. Sebenarnya, ada rasa sedih juga kerana sepatutnya susunan muzik untuk lagu ini disusun oleh Allahyarham Lok U.

"Namun, Allah lebih menyayanginya dan Insya-Allah, ia akan disiapkan selepas ini dengan susunan muzik oleh pengkarya yang lain," katanya.

Terbaru, Naim kini hadir dengan single baru berjudul Sembah hasil ciptaannya bersama komposer, Ikkie.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 3:12 PM