SIBUK buat persiapan akhir untuk persembahan di pentas AJL34.
SIBUK buat persiapan akhir untuk persembahan di pentas AJL34.
Syafil Syazwan Jefri

SEBAGAI artis generasi baru, tentunya ada impian untuk menunjukkan penghargaan buat penggiat seni terdahulu yang menempa nama di arena industri hiburan tanah air.

Bagi penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, dia juga tak mahu melepaskan peluang untuk menunjukkan penghargaan kepada insan seni yang kini bergelar legenda.

Justeru, untuk projek terbarunya Naim berkolaborasi dengan gitaris legenda tanah air, Man Kidal menerusi lagu berjudul Sembah.

“Lagu Sembah ini ciptaan komposer, Ikkie dan penghasilannya bertujuan menunjukkan penghargaan kepada legenda muzik tanah air seperti Man Kidal.

“Di luar negara, sudah ramai sebenarnya penyanyi yang berkolaborasi dengan pemuzik senior dan berpengalaman.

“Jadi, selepas berbincang, saya dan Ikkie bercadang menjemput Man Kidal sebagai penampilan khas dalam lagu baru ini,” katanya.

Berkongsi mengenai proses awal kolaborasi itu, Naim berkata, dia sendiri tidak menjangka akan mendapat maklum balas segera daripada pihak Man.

“Saya tak ada nombor telefonnya. Jadi, saya cuba nasib dengan menghantar mesej menerusi Instagram.

“Alhamdulilah, tak sampai satu hari abang Man Kidal membalas mesej saya dan bersetuju untuk kami berkolaborasi.

“Sebulan kemudian, sekitar November tahun lalu kami sudah dapat rakamkan lagu Sembah itu. Syukur, semuanya berjalan lancar,” katanya.

NAIM Daniel
NAIM Daniel

Berbicara lanjut mengenai lagu yang dijadualkan akan dilancar selepas Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34), Naim berkata, lagu Sembah mengenai kisah cinta.

“Ia berkisar pada karakter seorang lelaki yang sudah mempersembah atau memberikan segalanya kepada kekasih, namun tidak dihargai.

“Dalam erti kata lain, Sembah adalah satu lagu yang meluahkan rasa terkilan, kesedihan dan kekecewaan hati lelaki terhadap cintanya,” katanya.

Selain itu, Naim juga sibuk melakukan persiapan akhir untuk persembahannya di pentas AJL34 menerusi lagu Sumpah.

“Alhamdulillah, setakat ini kira-kira 80 peratus persiapan selesai dibuat merangkumi konsep, pakaian dan sebagainya.

“Apapun, saya gementar juga kerana ini kali pertama beraksi di pentas AJL. Tetapi, pada masa sama, rasa tak sabar dan teruja juga. Insya-Allah, saya akan cuba lakukan yang terbaik,” katanya.

Mengulas lagi mengenai karier muziknya, Naim bekata dia kini dalam perancangan untuk keluarkan album pertama tidak lama lagi.

“Dalam album ini dimuatkan tujuh lagu. Semuanya lagu baru termasuk lagu Sembah ini. Satu lagi yang menarik untuk saya kongsikan adalah kolaborasi bersama kumpulan Hujan.

“Apa yang boleh saya katakan, konsep untuk album itu nanti lebih ke arah segar dan ada warna kepelbagaian,” katanya.

Selain itu, Naim juga akan muncul dengan drama lakonannya berjudul Kerana Dia Aku Menangis arahan pengarah Kabir Bhatia yang dijangka menemui penonton pada Julai depan.

“Dalam drama ini, saya memegang peranan sebagai penyanyi rap dan sama-sama kita nanti tayangannya,” kata Naim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 6:30 AM