NAIM Danial. FOTO Aziah Azmee
NAIM Danial. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI dan pelakon, Naim Daniel tidak mengundang sebarang kontroversi dengan menggunakan tanda pagar #sembahnaim untuk mempromosikan single barunya berjudul Sembah.

Naim berkata, tujuan tanda pagar itu digunakan adalah untuk memudahkan pencarian di Internet dan media sosial tanpa sebarang niat yang memesongkan akidah dan sebagainya.

“Sejak single pertama hingga single kelima, saya tak pernah wujudkan sebarang kontroversi kerana saya sendiri pun tak ada masa untuk itu.

"Saya wujudkan tanda pagar itu untuk memudahkan pencarian di Internet dan media sosial sekiranya lagu itu dilancarkan kelak. Namun, tak sangka pula ada pihak yang berpendapat berbeza mengenainya," katanya.

Menurut Naim, lagu ciptaannya bersama Ikkie itu bukanlah bermaksud menyembah sesuatu.

"Sembah tak bererti menyembah. Ia juga membawa maksud persembahan dan jalan cerita dalam lagu ini bukanlah mengenai menyembah apa-apa," katanya.

Naim bagaimanapun berterima kasih kepada peminat yang memahami dan memandang tanda pagar itu dari sudut positif.

"Tak semua orang menganggap tanda pagar #sembahnaim itu sebagai satu perkara negatif kerana ramai juga yang faham," katanya.

Isu ini mula timbul di media sosial selepas beberapa pengikutnya di Instagram persoalkan mengenai penggunaan tanda pagar #sembahnaim yang dianggap tidak sesuai.

Lagu Sembah itu bakal menampilkan pemain gitar legenda, Man Kidal sebagai penampilan khas dan akan dilancarkan secara rasmi selepas Naim selesai dengan Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 5:17 PM