NAIM Danial suka berkongsi rezeki.
NAIM Danial suka berkongsi rezeki.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel mengakui dia belum lagi dapat menyiapkan sebuah lagu untuk Dayang Nurfaizah walaupun sudah dua tahun berlalu.

Naim berkata, hingga kini dia masih menyesuaikan diri untuk menghasilkan lagu buat penyanyi itu berikutan semuanya bergantung kepada inspirasi dan ilham yang datang.

"Selain menghasilkan lagu sendiri, ada juga penyanyi lain meminta lagu daripada saya dan salah seorangnya adalah kak Dayang. Namun, saya tak dapat lagi nak menyiapkan lagu untuknya.

"Sudah dua tahun pun dan kak Dayang juga baru-baru ini ada melancarkan albumnya. Namun, saya masih belum dapat berikan lagu yang diminta itu," katanya.

Menurut Naim, dia seorang yang tidak memaksa diri untuk berfikir bagi mendapatkan idea mencipta lagu. Selalunya, ilham dan inspirasi lagu-lagu yang dihasilkan datang sendiri.

"Apapun, setakat ini saya baru dapat menyiapkan satu lagu buat Siti Sarah. Bagaimanapun, saya tidaklah memilih penyanyi tertentu untuk menyanyikan lagu saya.

"Pada saya, asalkan penyanyi itu dapat membawakan lagu dicipta dengan baik, okaylah. Ini kerana saya sentiasa percaya setiap penyanyi itu ada kelebihan vokal mereka masing-masing.

"Lagipun, saya suka berkongsi rezeki. Cuma, sama ada lagu dihasilkan itu diterima pendengar atau tidak, semuanya saya serahkan kepada Allah. Apapun, yang pasti saya sudah membuat yang terbaik," katanya.

Ditanya mengenai 'resipi' kejayaan lagu-lagu nyanyiannya yang mudah popular dan diminati ramai, Naim berkata, semua itu adalah rezeki dan dia hanya mencuba.

"Saya cuba melakukan yang terbaik pada lagu-lagu dinyanyikan. Popular atau tidak, saya serah kepada Allah kerana sentiasa yakin dengan rezeki. Malah, saya juga suka bekerja secara berpasukan.

"Bagi saya, gabungan idea secara kerja berpasukan ini ada banyak baiknya kerana ia mampu menambah baik karya lagu dihasilkan menjadi lebih mantap," katanya.

Merancang mahu muncul dengan album, Naim kini cukup popular dengan lagu Sembah dan Purnama. Ini termasuk lagu berjudul Lara duet bersama Hael Husaini dan Haqiem Rusli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 3:38 PM