PENYANYI Ifa Raziah.
PENYANYI Ifa Raziah.
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI Ifa Raziah berbesar hati kerana diberi peluang mengenakan barangan kemas termasuk satu set tiara, anting-anting dan cincin bernilai lebih RM3 juta untuk penggambaran muzik video muzik lagu terbarunya, Miss Diva.

Ifa ketika ditemui berkata, itu adalah muzik video termahal yang diterbitkan sepanjang kariernya sebagai penyanyi.

"Ini adalah kali pertama saya hasilkan muzik video dengan kos agak mahal iaitu mencecah jutaan ringgit. Terima kasih kepada pihak Ceres Jewels yang sudi menaja barangan kemas itu," katanya.

Menurut Ifa, dia berbesar hati kerana diberikan kepercayaan untuk mengenakan barangan kemas itu yang juga sesuai dengan watak Ratu dalam muzik video itu.

“Watak saya dalam muzik video Miss Diva itu adalah sebagai Ratu. Jadi, tentunya barangan kemas dengan harga jutaan ringgit ini sesuai dengan watak yang saya bawakan itu," katanya.

Set tiara yang dipakai Ifa dihasilkan dengan menggunakan 1,400 butir permata jenis Aquamarine bernilai RM3 juta, manakala set anting-anting bernilai lebih RM300,000 dan dua cincin bernilai RM65,000.

Lagu Miss Diva adalah hasil kerjasama dua komposer Malaysia dan Indonesia iaitu Hafiz Hamidun dan Ressa Herlambang.

Tahun ini, Ifa merancang untuk melebarkan sayapnya sebagai penerbit filem, drama dan pelbagai kandungan untuk program televisyen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 4:15 PM