IFA Raziah kerugian RM82,000 akibat ditipu.
IFA Raziah kerugian RM82,000 akibat ditipu.
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, pelakon dan pengacara, Ifa Raziah menerusi Facebook dan Instagramnya berkongsi mengenai penipuan dilakukan oleh salah satu stokis produk jualannya di Terengganu.

Menurut Ifa, dia kerugian RM82,000 akibat penipuan yang dibuat seorang wanita menggunakan bukti transaksi pembelian didakwa palsu.

"Saya dah buat laporan polis dan setakat ini, jumlah kerugian mencecah RM82,000. Dia (wanita itu) tahu bahawa pihak kami di ibu pejabat akan membuat laporan polis, namun nampaknya dia tidak berasa tergugat.

"Satu lagi penipuan yang dilakukan, apabila menggelar diri sebagai doktor walaupun sebenarnya dia adalah jururawat. Bukan jenama saya saja yang terkena, khabarnya ada beberapa jenama kecantikan lain turut menjadi mangsa," katanya kepada Harian Metro.

Dalam laporannya, Ifa berkata suaminya adalah orang pertama yang sedar mengenai penipuan itu.

"Dia memberikan gambar transaksi resit palsu kepada suami saya untuk mendapatkan barangan kecantikan milik jenama SolidMolid. Suami saya kemudiannya mengenal pasti ada penipuan selepas melihat transaksi dalam akaun, tetapi tiada wang masuk daripadanya.

"Individu itu sudah mengambil barangan kecantikan saya sejak Februari lalu dan selepas semakan dibuat, sebanyak 28 transaksi diberikannya adalah palsu," katanya.

Ifa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 21 Februari lalu dan kini masih menunggu keputusan siasatan daripada pihak polis.

Terbaru, Ifa melancarkan muzik video lagunya berjudul Miss Diva hasil ciptaan gabungankomposer Malaysia dan Indonesia, Hafiz Hamidun bersama Ressa Herlambang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 5:52 PM