FILEM Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal. FOTO NSTP
FILEM Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal. FOTO NSTP
Bersama Riadz Radzi

KEGAGALAN filem animasi tempatan, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal terpilih sebagai lima calon akhir kategori Filem Animasi Terbaik di Academy Awards 2020 atau Oscars bukan sesuatu yang harus kita kecewa, sebaliknya kita patut bangga.

Ini kerana Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang dihasilkan syarikat animasi tempatan, Les’ Copaque Production tewas kepada lima filem animasi bertaraf dunia dan box-office iaitu How To Train Your Dragon: The Hidden World, Toy Story 4, I Lost My Body, Klaus dan Missing Link.

Jika dibuat perbandingan dengan lima filem animasi itu, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mungkin ketinggalan jauh dari segi bajet, produksi dan teknikal, tetapi yang penting ia sudah ada dalam ‘radar’ Oscars.

Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi dipetik sebagai berkata, walaupun tidak terpilih, tetapi mereka bangga kerana filem berkenaan membuka mata pemerhati filem antarabangsa serta menyuntik semangat penggiat seni tempatan untuk menghasilkan karya bermutu.

“Paling penting filem kami sudah berada dalam arkib penganjuran Oscars,” katanya.

Sejarah animasi tempatan sudah bermula sejak 1946 dengan penubuhan Unit Filem Malaya yang kini dikenali sebagai Filem Negara.

Bagaimanapun, animasi pendek pertama hanya ditayangkan pada 1983 berjudul Hikayat Sang Kancil. Ini diikuti animasi pendek seperti Sang Kancil & Monyet, Sang Kancil & Buaya, Gagak Yang Bijak, Arnab Yang Sombong dan Singa Yang Haloba di antara 1985 dan 1987.

Pada penghujung 1990-an barulah muncul siri animasi pertama dari sektor swasta iaitu Usop Sontorian dan diikuti beberapa siri animasi popular seperti Keluang Man dan Kampung Boy.

Filem animasi tempatan pertama ialah Silat Lagenda arahan Hassan Abd Muthalib dihasilkan pada 1998. Sebelum itu pada 1990, Mat Gelap lakonan Imuda menjadi filem tempatan pertama yang mengetengahkan watak animasi.

Apa yang pasti, 2019 adalah tahun cemerlang dan kebangkitan filem animasi tempatan. Dalam senarai filem kutipan paling tinggi sepanjang tahun lalu di laman web Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyaksikan tiga filem animasi tempatan mengungguli tiga tempat teratas.

Ejen Ali The Movie terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation yang ketika ini masih ditayangkan mencatat rekod kutipan sebanyak RM30 juta dalam tempoh enam minggu.

Ini diikuti filem Boboiboy The Movie 2 terbitan Animonsta Studios dan Astro Shaw dengan kutipan sebanyak RM29.5 juta dan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal sebanyak RM26.2 juta.

Pencapaian itu juga menyaksikan Ejen Ali The Movie kini menduduki tempat ketiga dalam senarai filem tempatan paling laris sepanjang zaman selepas Munafik 2 (RM37.7 juta) dan Hantu Kak Limah (RM36.2 juta).

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, kejayaan Ejen Ali The Movie berjaya mencipta sejarah baru buat syarikat produksi itu.

“Saya percaya pencapaian itu bukan saja berjaya mengetengahkan potensi serta bakat baru dari Wau Animation, tetapi juga dapat membuktikan kredibiliti industri perfileman dan animasi Malaysia dalam menghasilkan karya berkualiti tinggi yang mendapat sokongan padu dan menjadi kebanggaan penonton,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid Yasin pula tidak menyangka filem terbabit mampu sampai ke tahap sekarang dan terus menjadi sebutan.

“Kami sangat teruja menyaksikan kejayaan Ejen Ali The Movie kerana ketika pertama kali kami merangka konsep Ejen Ali dan dunia perisikannya, kami tidak pernah membayangkan kisah Ali akan dikongsikan ke layar perak,” katanya.

Selain itu, Ejen Ali The Movie turut disukai di Indonesia dan ia mula ditayangkan di sana sejak 1 Januari lalu. Malah, peminat di sana turut menangis gembira apabila bertemu dengan pelakon suara watak Ejen Ali, Ida Rahayu Yusoff ketika majlis tayangan perdana di Jakarta.

Bukan itu saja, filem berkenaan turut mendapat pujian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat filem itu berkelas dunia dari segi cerita, teknologi dan adunan.

Ia turut mendapat pujian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyifatkan filem itu mempunyai kualiti yang amat bagus dan sarat dengan latar cerita menarik.

“Dalam filem itu, isu sosial dan mesej penting diketengahkan termasuk pelajaran kehidupan dan jangan putus asa walau susah,” katanya.

Apa yang pasti, kejayaan tiga filem animasi ini wajar menjadi pencetus semangat buat penggiat animasi lain untuk menghasilkan lebih banyak filem atau siri animasi berkualiti.

Kita mungkin ketinggalan puluhan tahun jika dibandingkan dengan produk animasi antarabangsa dari Pixar Animation Studios, Walt Disney Studios atau DreamWorks Animation, tetapi tidak mustahil kita mampu menghasilkan produk setanding dengan mereka di masa depan.

Sebagai contoh, peruntukan RM20 juta dalam Belanjawan 2020 pada Oktober lalu melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) boleh membantu memupuk bakat tempatan dalam menghasilkan kandungan digital yang mampu melonjakkan potensi produksi animasi negara.

Langkah itu diambil berikutan bidang seperti e-sukan, animasi dan seni digital sedang berkembang pesat, sekali gus berpotensi menjana ekonomi negara.

Ia terbukti apabila pendapatan industri permainan video dunia melebihi AS$150 bilion pada masa ini, lebih tinggi berbanding gabungan hasil industri muzik dan filem.

Siapa tahu bermula 2020 ini lebih ramai anak tempatan tampil dengan animasi yang lebih canggih dan berkualiti.

Tak mustahil nama anak tempatan bakal disebut di pentas Oscars satu hari nanti.

>>Penulis Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 10:53 AM