SYURA sudah melakukan bermacam usaha bagi menghangatkan semula kerjaya nyanyian. FOTO Mahzir Mat Isa
SYURA sudah melakukan bermacam usaha bagi menghangatkan semula kerjaya nyanyian. FOTO Mahzir Mat Isa
Norhayati Nordin


PENYANYI, Syura Badron, 33, menafikan kerjaya nyanyiannya sudah suram dan semakin dipinggirkan peminat.

Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron berkata, rezeki nyanyiannya masih ada tetapi tidak diuar-uarkan kepada media.

"Saya sedar diri kerana tidak berada dalam kelompok penyanyi popular. Jadi, segala aktiviti nyanyian hanya dikongsi dalam Instagram (IG).

"Justeru, sesiapa yang mengikuti IG saya selalunya mereka akan tahu perjalanan aktiviti nyanyian disertai," katanya.

Syura yang juga ibu tunggal tiga anak berkata, laluan untuk dia membina semula kerjaya nyanyian tidak seperti sahabat baiknya, penyanyi Siti Nordiana atau Nana.

"Nasib saya tidak seperti Nana. Hingga kini, sudah bermacam usaha dilakukan bagi menghangatkan semula kerjaya nyanyian.

"Bagaimanapun, masih belum mencapai kejayaan seperti diharapkan. Apa yang boleh dikatakan, saya sering dibandingkan.

"Apa saja dilakukan pasti ada membandingkan saya seperti penyanyi itu dan selebriti ini termasuk dalam bidang masakan.

"Hinggakan saya terfikir besarnya ujian seorang insan dikenali Syura Badron yang selalu saja menjadi perbandingan," katanya.

Mengakui tidak kecewa atau patah semangat, Syura berkata, dia kini sudah lali berhadapan soal perbandingan.

"Biarlah apa orang nak kata dan terus bandingkan kerana percaya rezeki saya masih belum tiba.

"Saya akan terus berusaha meskipun perlu sakit telinga kerana pasti akan dibandingkan dengan orang lain," katanya.

Syura yang sudah dua dekad membina karier nyanyian seangkatan dengan Nana, pernah popular dengan lagu Nazam Berkasih.

Selain itu, Syura yang kecundang di pentas separuh akhir Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada 2017, pernah dinobatkan juara Masterchef Selebriti musim kedua.

Pada tahun lalu, Syura juga muncul dengan lagu solo ciptaannya berjudul Ego tetapi dianggap 'lagu bodoh' oleh segelintir warganet.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 4:36 PM