Syura bahagia bersama tiga anaknya. FOTO Syura Badron
Syura bahagia bersama tiga anaknya. FOTO Syura Badron
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Syura Badron, 34, mengakui dia kini lebih memberi tumpuan untuk merancakkan permigaan produk kosmetik jenama Charmant yang diusahakannya berbanding terus berharap pada kerjaya seni.

Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron berkata dia nekad menceburi perniagaan berikutan kerjaya seni yang pernah melonjakkan namanya pada hujung  era 1990-an lalu masih belum menyerlah seperti diharapkan.

"Selain menyanyi, saya juga sebelum ini sudah berlakon, mengacara dan ketengahkan bakat dalam lawak atau komedi. Namun, rezeki masih tak berpihak pada saya untuk menyinar semula.

"Nak kata saya kecewa atau terkilan dengan nasib diri apabila segala usaha dilakukan untuk menyerlah dalam kerjaya seni tidak berhasil, saya pun tak tahu nak cakap apa.

"Perasaan yang saya rasakan benar-benar sukar untuk diungkap. Namun, cukuplah saya kata mungkin belum sampai rezeki lagi.

"Jika saya kata kecewa, rasa tak adil pula. Begitu juga terkilan. Ini kerana, selama beberapa tahun lalu memang saya giat berusaha. Namun, perancangan Allah itu adalah terbaik untuk saya.

"Apapun daripada terus berharap perkara tak pasti, saya perlu beranikan diri untuk menceburi perniagaan. Ditambah, saya pun memang suka dengan produk mekap untuk sentiasa tampil cantik," katanya.

Syura yang juga ibu tunggal tiga anak berkata dia semakin yakin untuk berniaga selepas berkunjung ke Jepun pada tahun lalu mengikuti bengkel dan pemeran perniagaan di negara itu.

"Sebagai ketua keluarga, saya perlu positif dan lebih berani. Malah, demi kebahagiaan anak-anak saya harus nekad berusaha mengubah nasib diri.

"Pengalaman sebagai anak seni dilalui kini agak berliku. Jadi, saya tidak boleh terus menunggu dan berserah sahaja. Apapun, ia juga tak bermaksud saya sudah meninggalkannya (kerjaya seni).

"Minat saya pada seni sangat dalam. Cuma, kalau ada rezeki saya tetap teruskan. Namun, jika sebaliknya pula saya sudah ada 'back up' sumber pendapatan lain," katanya.

Sehubungan itu, Syura yang sudah lima tahun bercerai kini bahagia di sisi anak-anak iaitu Nurul Dania, 13, Nurul Qaisara Sofea, 11, dan Mohd Irfan Aryan, 7.

Mengulas juga soal jodoh, Syura berkata dia sangat bersyukur dianugerahkan kegembiraan dan kebahagiaan bersama anak-anak. Ujarnya, dia selesa fokus hanya buat keluarga.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 2:46 PM