SYURA akur impian bekerjasana dengan arwah Pak Ngah tidak kesampaian.
SYURA akur impian bekerjasana dengan arwah Pak Ngah tidak kesampaian.
Oleh Norhayati Nordin


SEBELUM aktif menceburi lakonan, pengacaraan dan program komedi, Syura Badron, 34, cukup dikenali sebagai penyanyi. Malah, pernah popular dengan lagu Nazam Berkasih.

Namun, jodoh lebih awal datang buat Syura dan ketika namanya masih di puncak populariti, dia mendirikan rumah tangga pada 2006. Kemudian, perlahan-lahan dia menyepi daripada kerjaya seni.

Bagaimanapun, pembabitan pemilik nama sebenar Zuraidah Badron ini dalam program MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua pada 2013, seakan petanda dia mahu aktif semula.

Pernah merakamkan tiga lagu baharu yang dicipta komposer terkenal selepas dia muncul sebagai juara MasterChef Selebriti, ternyata 'kemunculan semula' dibuat Syura tidak menjadi apabila lagu itu kurang mendapat perhatian.

Enggan mengalah, Syura tampil menghasilkan lagi karya baharu berjudul Ego ciptaannya sendiri pada 2018, namun nasib masih tidak menyebelahi apabila lagu itu kurang menyerlah. Justeru, Syura beri tumpuan pada lakonan, mengacara dan program komedi.

Apapun ibu tiga anak ini mengaku minatnya terhadap nyanyian tidak pernah pudar. Biarpun kecewa beberapa percubaan menyanyi sebelum ini kurang berjaya, tetapi Syura ada impian yang ingin dicapainya.

Menurut Syura, dia mahu menghasilkan lagu bergenre Irama Malaysia atau tradisional untuk lagu terbaharu akan datang. Namun, katanya dia masih mencari komposer yang dirasa sesuai.

"Sepatutnya saya sudah merakamkan sebuah lagu Irama Malaysia beberapa tahun lalu kerana merancang mahu bekerjasama dengan Allahyarham Pak Ngah. Tetapi, sayangya tidak kesampaian.

"Jadi, perancangan saya tergendala hingga kini. Tak dinafikan, ada ramai komposer berbakat tanah air mampu mencipta lagu Irama Malaysia, tetapi air lagunya tidak sama dengan arwah Pak Ngah.

SYURA bahagia dengan anak- anak.
SYURA bahagia dengan anak- anak.

"Saya pula sejak dari dahulu sudah serasi dengan lagu Irama Malaysia ciptaan Allahyarham. Kini, saya perlukan masa untuk teliti hasil karya daripada komposer sedia ada," katanya.

Ditanya apakah dia begitu cerewet dan 'demand', Syura berkata, memandangkan dia yang akan mengeluarkan kewangan sendiri untuk merakamkan lagu, maka enggan terburu-buru dan mahu lebih teliti.

"Saya sayangkan kerjaya nyanyian ini, namun perlu lebih selektif pada karya lagu ingin dinyanyikan. Saya tidak mahu sambil lewa kerana kos mendapatkan lagu itu bukan murah. Ditambah, dengan modal sendiri.

"Pengalaman sebelum ini banyak memberi pengajaran kepada saya. Bukan mudah mendapatkan lagu yang kena dengan cita rasa pendengar, sekali gus menambat hati peminat," katanya.

Sibuk memberi tumpuan pada pernigaan produk kosmetik jenama Charmant yang diusahakan, Syura berkata, pembabitan dalam bisnes kerana minat. Apatah lagi, bagi mendapatkan pendapatan menyara keluarga.

Katanya, status ibu tunggal yang masih dipegang sejak enam tahun lalu membuatkan dia nekad mencari rezeki buat anak-anak. Dia juga sudah terbiasa berdikari selama ini.

Mengakui belum bertemu jodoh baharu, Syura berkata, dia tidak serik berkahwin, namun sekarang keutamaan adalah anak-anak.

Menurutnya, dia perlu berfikir dengan semasak-masak untuk berkahwin baharu.

Selesa menjalani kehidupan solo, Syura akui hidupnya sudah bahagia di sisi anak-anak iaitu Nurul Dania, 13, Nurul Qaisara Sofea, 11, dan Mohd Irfan Aryan, 9.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 6:27 AM