Oleh Rudy Imran Shamsudin


Selepas mendirikan rumah tangga dengan pelawak Shuib dari kumpulan Sepahtu pada 26 Februari 2011, kerjaya seni penyanyi Siti Sarah Raisuddin, 30, dilihat agak sepi.

Pernah menghasilkan tiga album, Sarah (2002), Mimpi Pun Sama (2003) dan Tiada Dikau Tiada Makna (2005), Sarah tampil buat kali terakhir dengan single duet bersama suaminya, Cinta Itu Nyawa di bawah label syarikat rakaman Universal Music.

Mengikut perancangan, Sarah akan tampil dengan single solo tetapi sekian lama menanti, perkara itu tidak juga dapat direalisasikan.

Ditemui baru-baru ini sewaktu meraikan kejayaan Sepahtu menjadi naib juara Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014) minggu lalu, Sarah akui belum tiba lagi rezekinya untuk kembali mewarnai industri muzik tempatan.

Katanya, perancangan untuk kembali aktif menyanyi tertangguh kerana masa belum mengizinkan. Tambah pula kesibukan suaminya menjayakan MLM2014 membuatkan dia harus memberi tumpuan sepenuhnya terhadap suami.

Bangga dengan kejayaan suami di MLM2014, Sarah akui tidak pernah melupakan kerjayanya sebagai penyanyi, cuma sekarang kedudukannya sudah berbeza.

“Jika dulu saya menyanyi untuk membantu keluarga tetapi sekarang saya sudah punya keluarga sendiri. Sebagai isteri, saya harus mendahulukan suami apatah lagi sepanjang MLM2014 berlangsung, Shuib sudah cakap awal-awal dia mahu saya sentiasa berada di sisinya.

“Kata Shuib, apabila persembahannya tidak bagus dan berasa sedih, kesal mahupun kecewa, sekurang-kurangnya dia ada saya untuk menenangkannya,” katanya.

Peserta akhir Bintang RTM 2001 itu mula jadi perhatian melalui lagu Kesetiaan dan kerjaya seninya makin kukuh apabila menang Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM 2003).

Selain tanggungjawab sebagai isteri, Sarah juga bahagia dengan kehadiran dua cahaya mata, Uwais Alqarni dan Dzahira Talita Zahra.

Sarah tidak pernah menganggap mendahulukan suami sebagai pengorbanan memandangkan Shuib atau Shahmira Muhamad banyak berusaha untuk dia dan anak-anak.

“Shuib selalu beritahu saya jika tiada apa yang tinggal di dunia ini, dia akan berasa cukup dan gembira apabila ada saya dan anak-anak. Dia bekerja keras untuk keluarga dan saya.

“Memikirkan mengenainya, saya berasa tidak mengapa untuk memperlahankan kerjaya nya­nyian saya. Lagipun apabila Shuib menyertai pertandingan seperti MLM2014 ini, dia akan berhadapan dengan tekanan dan perkara itu membuatka saya risau.

“Saya tahu apabila dia mengalami tekanan, dia berubah sikap. Dia tidak lalu makan, tidurnya sering saja terganggu. Itu tidak termasuk unsur-unsur lain yang pasti akan berlaku setiap kali MLM2014,” katanya.

Kata Sarah, sebelum memulakan cabaran lagi suaminya meminta kebenaran daripadanya untuk menyertai rancangan realiti popular itu di samping memberi amaran yang dia akan berubah sikap.

“Pada saya secara peribadi akan sentiasa menyokong apa yang mahu dikerjakan dan diusahakan Shuib. Kalau dia gembira, saya juga tumpang gembira,” katanya.

Sarah juga tidak kesal apabila perlu memperlahankan kerjaya seninya dan menangguhkan penghasilan lagu baru sehingga membuatkan peminat berasakan dia kini tidak lagi menyanyi.

Katanya, sebaik saja berkahwin masanya tertumpu kepada keluarga apabila mengandung anak sulung tidak lama selepas bersanding.

“Selepas itu Shuib sangat sibuk dengan kumpulan Sepah kemudian Sepahtu. Kemudian badan saya berisi dan terpaksa pula mengecilkan dulu tubuh dan waktu sama memastikan badan ada stamina.

“Sewaktu saya mahu memulakan rakaman, saya mengandung anak kedua. Suami pula memerlukan bantuan saya untuk menumpukan perhatian pada MLM2014.

“Jadi, sepanjang hampir empat tahun ini, saya tidak ada ruang langsung untuk kembali aktif. Begitupun, saya percaya segalanya terletak di tangan Allah.

“Insya-Allah kalau ada rezeki, saya kembali menyanyi dan mungkin akan tampil dengan lagu baru dalam waktu terdekat. Perancangan itu memang sentiasa ada tetapi apapun, kita kena percaya pada ketentuan Allah,” katanya.

Sarah yang kini makin langsing, mengejutkan peminat apabila berjaya menurunkan berat badan selepas melahirkan anak kedua. Beratnya kini hanya 48 kilogram berbanding 74 kilogram sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:07 AM