AWIE berdoa semoga kesihatannya baik untuk menjayakan konsert Romantika pada 15 Februari tahun depan. FOTO Zunnur Al Shafiq
AWIE berdoa semoga kesihatannya baik untuk menjayakan konsert Romantika pada 15 Februari tahun depan. FOTO Zunnur Al Shafiq
Ramlah Zainal


“SAYA pernah disyaki menghidap kanser selepas ujian klinikal pertama sebaik saja kembali daripada menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah pada tahun lalu.

“Namun, saya bersyukur, doktor mengesahkan bebas daripada penyakit berbahaya ini selepas keputusan ujian sampel yang dihantar ke makmal di Melbourne, Australia sebelum ini,” kata vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie ketika mengulas tahap kesihatannya ketika ini.

Menurut pemilik nama sebenar, Ahmad Azhar Othman, 50, dia sering diuji dengan pelbagai masalah kesihatan dan penyakit setiap kali mahu mengadakan konsert berskala besar.

“Saya juga terpaksa berulang alik dan keluar masuk ke hospital kerana masalah kaki bengkak menjelang konsert besar sebelum ini.

“Selain berjumpa doktor pakar, saya juga pernah berubat cara tradisional di Indonesia untuk mengubat penyakit dan ‘gangguan’ dialami ini,” katanya pada sidang media Konsert Romantika yang berlangsung di Flora Terrace, Ampang, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, dia berdoa semoga keadaan kesihatannya juga baik untuk menjayakan konsert Romantika pada 15 Februari tahun depan.

“Walaupun pelbagai ujian dilalui termasuk ditipu orang tetapi saya percaya dengan rezeki daripada Allah SWT.

“Contohnya, Allah beri rezeki lain dengan kemunculan penaja yang berminat untuk merealisasikan konsert Romantika ini,” katanya.

Konsert Romantika Awie yang meraikan ulang tahun ke-25 pembabitannya sebagai artis solo bakal berlangsung jam 8 malam di Stadium Malawati Shah Alam pada 15 Februari tahun depan.

Tiket konsert berharga daripada RM88 hingga RM438. Keterangan tiket layari www.myticket.asia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 7:31 PM