AWIE berdoa semoga Allah SWT merahmati pasukannya dengan penganjuran Konsert Romantika berjalan lancar. FOTO Zunnur Al Shafiq
AWIE berdoa semoga Allah SWT merahmati pasukannya dengan penganjuran Konsert Romantika berjalan lancar. FOTO Zunnur Al Shafiq
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PENYANYI, Datuk Ahmad Azhar Othman, 51, atau Awie berharap keadaan kesihatannya baik menjelang penganjuran Konsert Awie Romantika di Stadium Melawati, Shah Alam pada 15 Februari tahun depan.

Awie berkata, dia berdepan pelbagai masalah kesihatan dan penyakit setiap kali mahu mengadakan konsert berskala besar.

Dia sebelum ini disyaki menghidap kanser sebaik pulang menunaikan umrah di Makkah tahun lalu selain kakinya bengkak, beberapa hari sebelum konsert mega dianjurkan.

Pernah berdepan 'gangguan' sebelum ini, Awie mengadakan solat hajat dan berdoa supaya Allah memudahkan urusannya.

"Saya berdoa semoga Allah SWT merahmati pasukan ini dengan penganjuran Konsert Romantika berjalan lancar.

“Saya juga bersyukur vokal dan suara dalam keadaan baik," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurut Awie, dia giat mempromosikan konsert berkenaan dengan mengadakan jelajah bertemu peminat di Johor Bahru, minggu lalu.

Bagi siri kedua, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Ukiran Jiwa itu akan mengadakan Jelajah Zon Utara di Pulau Pinang, Kedah dan Perak, bermula esok hingga Khamis ini.

Antara lokasi yang akan dikunjungi untuk bertemu peminat adalah Pesta Pulau Pinang, Pulau Pinang; Star Prade dan D'Saz House of Lamb, Alor Setar; Dataran CIMB, Jalan Penjara, Kangar, Perlis; GSC Aman Jaya, Sungai Petani; Watatime, Ipoh dan Zul Yahya Steamboat & BBQ di Meru, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 7:19 PM