AWIE buat kejutan raikan hari jadi Erra pada malam konsert.
AWIE buat kejutan raikan hari jadi Erra pada malam konsert.
Ridzuan Abdul Rahman


“ALLAH izinkan saya lagi berada di atas pentas bersama ‘the one and only’, Datuk Awie. Berbicara mengenai cinta, siapa yang tidak mahu dicintai dan mencintai. Apatah lagi, dicintai legenda pujaan hati.

“Dan saya masih ingat lagi, 27 tahun yang lalu. Waktu itu saya berusia belasan tahun. Saya dihubungi Awie dengan alasan, nak berlakon tak dalam filem Sembilu?

“Mungkin ramai yang tak tahu, saya kenal Awie sebelum Sembilu. Dan alhamdulillah...aturan Allah cukup indah, dalam Sembilu kami digandingkan dan menjadikan kami pasangan dua sejoli dalam filem dan ‘terbabas’ ke luar filem.

“Terima kasih Awie insan yang bertanggungjawab membawa saya ke persada lakonan. Memang banyak jasanya. Dialah mentor saya, guru saya. Saya berada di sini pun kerana sangat-sangat berterima kasih kepadanya,”.

Inilah ungkapan Erra Fazira yang menyentuh hati penonton yang hadir menyaksikan Konsert Romantika Awie yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, baru-baru ini.

Awie ternyata mengotakan janji apabila mengimbau memori kisah cinta sensasinya bersama Erra yang berlaku lebih dua dekad lalu.

Erra anggap Awie sebagai mentor yang membawanya ke persada lakonan.
Erra anggap Awie sebagai mentor yang membawanya ke persada lakonan.

Bagaimanapun sebelum bermulanya imbasan drama kisah cinta mereka, dia melakukan kejutan meraikan ulang tahun kelahiran Erra yang disambut pada 9 Februari lalu.

‘Imbasan cinta’ mereka dimulakan apabila Awie melamar kekasihnya Erra (ketika itu) dan lamaran terbabit diterima.

Namun, populariti menggunung yang dikecapi mereka serta tumpuan berlebihan peminat terhadap kedua-duanya menjadikan hubungan ini goyah.

Biarpun bermatlamat merungkai cerita sebenar, Awie dan Erra lebih banyak tampil dengan dialog santai dan mencuit hati peminat.

Tambah lagi Awie yang suka berjenaka antaranya memberitahu dia ‘menangis’ bukan kerana putus cinta tetapi kerana lagu-lagunya bernada tinggi ketika menyanyikan lagu Ukiran Jiwa dan Tragedi Oktober.

Namun, ramai yang terpegun dengan kemampuannya menyanyikan lagu bernada tinggi pada usianya sekarang.

Erra pula memukau penonton menerusi lagu popularnya Yang Terindah Hanya Sementara, Pertemuan dan Hanya Di Mata.

Mereka juga berduet menyampaikan lagu baru berjudul Cinta Makrifat.

Nyanyian Awie dan Erra dimantapkan dengan iringan suara latar anggota Freshies iaitu Ina, Shima dan Ejie yang sinonim dengan konsert Datuk Awie pada era 1990-an.

Biarpun mungkin tidak memaparkan cerita sebenar sepenuhnya, kesimpulan yang boleh dibuat ialah hubungan mereka tidak kesampaian kerana cemburu dan hasutan pelbagai pihak.

Lagu Jangan Pisahkan yang menjadi kenangan mereka berdua dipilih sebagai penutup konsert yang dihadiri 6,000 peminat.

Ada yang terkesan dengan kisah cinta mereka, namun ketentuan takdir mengatasi segala-galanya.

Awie kotakan janji imbau kisah cinta tak kesampaian dengan Erra di Konsert Romantika Awie
Awie kotakan janji imbau kisah cinta tak kesampaian dengan Erra di Konsert Romantika Awie

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 6:45 AM