AWIE mahu Konsert Awie Romantika diingati sehingga masa akan datang.
AWIE mahu Konsert Awie Romantika diingati sehingga masa akan datang.
Ridzuan Abdul Rahman


SIAPA tidak kenal Datuk Awie. Selain mencipta fenomena bersama Wings, Awie juga pelakon berkaliber selain terkenal sebagai penyanyi solo.

Malah, tidak keterlaluan jika Awie juga boleh diklasifikasikan sebagai pelawak terutama menerusi lakonan berkesannya dalam siri filem komedi Hantu Kak Limah.

Apa yang pasti, dengan pengalaman lebih 35 tahun, namanya dalam industri hiburan tanah air bukan calang-calang.

Bagaimanapun sebagai manusia biasa, penyanyi berusia 51 tahun ini tetap mempunyai ketakutan apabila bakal menjayakan konsert solo ketiganya iaitu Konsert Awie Romantika anjuran HS Shazlicious dan Atirox.Ltd yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 15 Februari tahun depan.

“Dalam banyak-banyak konsert, ini yang paling saya takut apabila memikirkan pelbagai kemungkinan. Agak lama konsert solo dibuat selepas Konsert Awie Live Unplgged di Life Centre, Kuala Lumpur pada 1995.

“Selepas itu saya menjayakan pula Konsert O-Tak di Stadium Negara menerusi tajaan sebuah syarikat,” katanya.

Awie berkata, konsert kali ini agak menarik kerana menampilkan barisan pemuzik yang masih kekal dalam industri muzik iaitu Nan (gitar), Firdaus (keyboard), Ujang (dram) dan penyanyi latar kumpulan Freshies yang bersamanya pada Konsert Awie Live Unplgged dahulu.

“Ada di antara barisan pemuzik ini masih hidup dan ada yang sudah tiada. Kami mengambil masa yang agak lama untuk mencari konsep yang sesuai. Selepas perbincangan terhasillah konsert berkonsep dramatikal yang ada penyanyi dan pelakon.

“Saya nak alih pandangan masyarakat terhadap konsert yang berbeza daripada konsert yang lain. Namun, saya tidaklah sampai janjikan bulan dan bintang takut tak tercapai nanti,” katanya.

Awie mengibaratkan konsert ini adalah hadiah buat peminat yang menyokong pembabitannya selama ini sebagai artis.

“Setakat ini penjualan tiket sudah mencecah hampir 40 peratus. Apabila promosi dibuat di pelbagai lokasi, saya harapkan ia lebih banyak dijual. Doakan semoga konsert ini menjadi konsert yang diingati sehingga masa akan datang. Jika ia berjaya, tak mustahil akan dibawa ke negeri lain dan di luar negara seperti Singapura.

“Bagi saya konsert yang akan memberikan faedah kepada masyarakat ialah konsert yang berilmu iaitu bukan sekadar peminat datang dan pergi.

“Saya nak berikan sesuatu ilmu apabila orang akan mengenangkannya. Mereka akan fikir, jika nak buat sesuatu konsert, artis generasi baharu patut belajar. Bukan tujuan nak mengajar, tapi nak keluarkan idea yang konsert bukan sekadar menyanyi,” katanya.

Kesungguhan Awie untuk mempromosikan konsert ini amat ketara apabila sanggup turun padang untuk ‘busking’ di pekarangan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur dan bertemu peminat di beberapa lokasi yang disusun.

“Ini satu medium terbaik untuk merapatkan jurang yang terpisah dengan peminat. Kalau dulu tahun 80-an, medium yang terbaik ialah funfair. Ini kerana kami akan masuk kawasan kampung dan pedalaman. Mereka susah nak bertemu penyanyi pujaan.

“Kami ambil inisiatif ini kerana dapat jumpa terus mereka. Saya memang suka cara begini kerana yang mengajar saya menyanyi adalah cara ini. Ia bukan menerusi WhatsApp, YouTube atau media sosial lain yang ada sekarang,” katanya.

Awie berkata, dia sudah melalui pelbagai kepayahan ketika zaman awal meniti populariti dan tidak berasa penat untuk mengulanginya pada zaman ini.

Tidak keterlaluan dikatakan Konsert Awie Romantika sebuah konsert mewah kerana ditaja pelbagai pihak termasuk jenama gergasi.

Bagaimanapun, Awie mengambil pendekatan merendah diri dan berterima kasih dengan usaha yang digerakkan oleh pasukan konsertnya.

“Ini mewah pada saya. Tahniah pada semua yang terbabit kerana menjalankan tanggungjawab dengan baik. Pada saya ini kejayaan peringkat awal yang dijalankan dengan baik. Ia positif sebagai konsert besar pembuka 2020,’ katanya.

AWIE dan Erra. FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam
AWIE dan Erra. FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam

Rungkai kisah di sebalik percintaan dengan Erra dulu

Tidak bermakna konsert ini hanya menampilkan Awie sendirian sedangkan namanya romantika.

Oleh itu, penyanyi bernama sebenar Ahmad Azhar Othman ini memilih Erra Fazira untuk digandingkan bersama dalam konsert ini.

“Jika saya sendirian di atas pentas, tidak jadilah drama dan romantikanya. Orang yang bakal berlakon dan menyanyi bersama saya nanti ialah Erra Fazira. Bagaimanapun, pemilihannya dibuat atas keizinan isteri saya, Sharifah Ladyana Syed Samsuddin.

“Terima kasih isteri dan anak atas sokongan dan dorongan yang diberikan. Dengan kasih sayang yang diberikan akhirnya saya berdiri selama 35 tahun dalam industri hiburan tempatan,” katanya.

Bercakap berkenaan gandingan bersama Erra, Awie berkata, mereka akan merungkai kisah sebenar di sebalik kisah cinta mereka suatu ketika dahulu.

“Niat di hati saya adalah untuk mengembalikan semula nostalgia itu. Orang lain berhak untuk menilai apa saja, tetapi pada akhir konsert nanti mereka akan melihat sesuatu. Mereka akan faham apa tugasan kami. Kami juga akan imbas kembali babak percintaan lalu, tapi tidaklah ambil 100 peratus apa yang berlaku,” katanya.

Lebih daripada itu, kisah daripada konsert ini akan dipanjangkan pula dalam sebuah filem berkonsep romantik komedi yang menampilkan mereka berdua.

“Dalam filem romantik komedi ini kita masukkan cerita sebenar. Saya tak nak bagi orang tertekan dengan kisah cinta kami. Janganlah serius sangat dalam kisah ini. Ia akan jadi satu nasihat selepas berperang, kami kembali berbaik.

“Saya nak sesuatu yang positif. Lapan tahun kami tak bertegur sapa dan akhirnya masing-masing berbaik dan melupakan apa yang sudah berlaku,” katanya.

Tiket konsert dijual dengan harga bermula RM88 hingga RM438. Maklumat mengenai tiket boleh layari laman sesawang www.myticket.asia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 5:30 AM