AWIE dan Erra rungkai kisah sebenar dalam konsert. FOTO Faiz Anuar
AWIE dan Erra rungkai kisah sebenar dalam konsert. FOTO Faiz Anuar
Ridzuan Abdul Rahman

BERMULA dengan sidang media pertama pada September tahun lalu, Datuk Awie terus sibuk ke sana sini bagi mempromosi konsert solonya, Konsert Awie Romantika yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 15 Februari depan.

Berbaki 15 hari lagi, Awie dan artis undangannya, primadona Erra Fazira kini sibuk menjalani latihan bersama pemuzik pengiring iaitu Nan (gitar), Firdaus (keyboard), Ujang (dram) dan penyanyi latar kumpulan Freshies.

Ditemui pada sesi fotografi yang diadakan baru-baru ini, kedua-duanya berjanji akan memberikan komitmen terbaik bagi memastikan konsert ini berjalan lancar dan menghiburkan peminat.

“Sebelum ini masing-masing sibuk dengan jadual sendiri. Sekarang kami akan ‘all out’ di studio untuk latihan. Saya akan menyanyi sekitar enam lagu antaranya secara solo dan duet dengan Awie.

“Penceritaan akan bermula dengan ceria. Kemudian baru ada kisah pertemuan, duet, gaduh dan sedih,” kata Erra membuka perbualan.

Awie yang mengambil tempat di sisinya berkata, rangka skrip untuk konsert ini ditulis Dilla Hussein.

“Skrip hanya sebagai ‘guide’. Ia sebuah konsert dramatikal. Kalau ada yang pernah menonton Konsert Suara Kita di Istana Budaya dulu, ia berbeza dan bukan terlalu berat seperti itu.

ERRA (kiri) rasa gementar tetap ada. FOTO Faiz Anuar
ERRA (kiri) rasa gementar tetap ada. FOTO Faiz Anuar

“Pembukaan akan dibuat dalam dua sesi iaitu yang menampilkan saya dan Erra. Saya mahukan sesuatu yang gah dengan gimik sistem bunyi dan muzik yang mantap,” katanya.

Awie berkata, seperti yang pernah diungkap sebelum ini, Konsert Awie Romantika dianjurkan bertujuan menyelesai serta merungkai kisah sebenar, kemelut dan fitnah terhadap mereka.

“Kami ambil penyelesaian di atas pentas dengan cara yang baik. Kalau ikutkan Erra, dia nak perempuan (dirinya) yang menang. Saya tak kisah sangat. Sebenarnya situasi itu hanya kami berdua yang tahu. Biar kami selesaikan di atas pentas dan masyarakat terima dengan baik. Dengan kesempatan yang masih ada, boleh mereka yang banyak memfitnah datang berjumpa untuk minta maaf,” katanya.

Awie mengakui kesukaran meminta Erra menyanyikan lagu popularnya Yang Terindah Hanya Sementara.

“Erra adalah penyanyi yang baik. Lagu ini pula penting kerana dalam percintaan ini ada ‘mood’ gembira, tapi ia tak selamanya bahagia kerana di tengah-tengahnya ada bencana yang menimpa.

“Dari situ, saya akan sambut dengan lagu Ukiran Jiwa. Ada juga ‘tribute’ filem Sembilu, tapi ia akhirnya diparodikan oleh watak abang yang dibawakan seorang pelawak terkenal. Penampilannya adalah untuk pecahkan mood sedih yang diakhiri dengan ‘happy ending’,” katanya.

Erra berkata, peminat akan lebih faham situasi yang berlaku apabila keratan akhbar akan dipaparkan di skrin ketika mereka menyanyi.

“Walaupun terbabit secara langsung, saya sendiri tak sabar nak mendengar Awie menyanyikan lagu-lagu solonya kerana ia memang seronok. Pada awalnya, saya ingatkan Awie hanya minta saya berlakon, tapi rupanya kena menyanyi. Namun, saya lega bekerja dengan orang yang profesional, tapi rasa gementar itu tetap ada,” katanya.

Dalam pada itu, Awie berkata, dia tidak mahu konsert ini melebihi dua jam kerana bimbang peminat bosan.

“Saya akan selitkan juga lagu Di Ambang Wati yang ada kaitan dengan cerita. Sebenarnya, sebelum ini beberapa kali pihak Istana Budaya tawarkan saya untuk buat konsert solo. Kemudian ditawarkan buat konsert duet dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk K pun sudah benarkan, tapi saya belum bersedia kerana ketika itu fikirkan kumpulan Wings,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 6:01 AM