AEPUL pertama kali bawa karya ciptaan orang lain menerusi Mencintaimu.
AEPUL pertama kali bawa karya ciptaan orang lain menerusi Mencintaimu.
Ardini Sophia Sina


MUNGKIN tidak ramai yang tahu penyanyi Drama Band iaitu Aepul Roza sebenarnya kerap tampil dengan projek solo. Banyak lagu ciptaan dan nyanyiannya dipilih sebagai lagu runut bunyi untuk drama atau telefilem.

Aepul tampil dengan lagu solo berjudul Mencintaimu yang dijadikan runut bunyi drama Asalkan Dia Bahagia. Katanya, lagu itu juga adalah lagu pertama hasil ciptaan orang lain yang dinyanyikannya.

“Drama itu sudah lama ditayangkan tetapi pengurusan baru minta saya promosikannya. Ia juga lagu pertama saya nyanyikan hasil ciptaan orang lain. Saya tidak ada masalah nyanyi lagu ciptaan komposer lain,” katanya.

Aepul berkata, dia menyanyikan lagu ciptaan Amy Nawari itu kerana liriknya sesuai dengan drama terbabit selain melodinya juga sedap didengar.

Sejak awal pembabitan dalam bidang muzik, sudah beberapa lagu runut bunyi dihasilkan Aepul. Ada yang dinyanyikan sendiri dan ada juga diberikan kepada penyanyi lain.

Projek solo yang dijalankan ini bukanlah petanda Aepul akan meninggalkan Drama Band. Mereka terbuka dan tidak meletakkan halangan kepada sesiapa saja yang terbabit dengan mana-mana projek asalkan keutamaan diberikan kepada kumpulan mereka.

“Walaupun saya ada projek solo, syukur tidak ada yang buat spekulasi kononnya saya sudah keluar daripada Drama Band. Saya ada banyak lagu dalam simpanan dan ada yang tidak sesuai dengan identiti kumpulan. Jadi, saya akan nyanyikan sendiri atau berikan kepada penyanyi lain.

“Selalunya untuk projek solo saya nyanyikan lagu yang lebih jiwang dan ‘sweet’. Kiranya, ia adalah ekspresi atau sisi lain saya sebagai penyanyi,” katanya.

Tidak meletakkan sebarang had dalam penghasilan lagu sepanjang tahun, kata Aepul, dia individu yang setiap hari menulis dan menghasilkan lagu baharu.

“Saya seorang yang sukakan kuantiti. Saya tidak letak sebarang had dalam penghasilan lagu dalam setahun. Ada yang sesuai, saya akan terus rakam dan keluarkan.

“Saya pula setiap hari menulis lagu sebab memang itu kerja saya pun. Kalau menulis pada masa lapang, itu bukan kerja tetapi hobi. Oleh itu, runut bunyi adalah platform terbaik untuk mengetengahkan karya yang ada,” katanya.

Bakal tampil dengan lagu baharu Drama Band, kata Aepul, dia sedang mengumpul beberapa bahan yang dirasakan sesuai dilancarkan selepas single berjudul Drama.

Bagaimanapun, kemungkinan lagu seterusnya jauh daripada konsep Drama dan lagu ciptaannya Kali Ketiga nyanyian Fiq Mentor yang ‘bermain’ dengan risiko dikecam netizen.

“Sebenarnya, ada saja isu semasa yang diselitkan dalam bahan lawak tetapi saya pelik kenapa orang tidak dapat terima apabila perkara seperti itu diolah menjadi lagu.

“Bagaimanapun, cukuplah dua konsep yang sebelum ini. Kami akan gunakan cara lain untuk salurkan mesej yang ingin disampaikan. Takkan mahu guna cara yang sama untuk tarik perhatian umum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 4:30 AM