PENYANYI, Aepul Roza. FOTO Mahzir Mat Isa
PENYANYI, Aepul Roza. FOTO Mahzir Mat Isa
Norhayati Nordin


PENYANYI kumpulan Drama Band, Aepul Roza berharap vokalnya pulih sebelum malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34), Ahad ini.

Aepul berkata, dia kehilangan suara kelmarin dan keadaan itu nyata mengganggu fokus latihannya untuk AJL34.

"Buat masa ini, keadaan vokal saya masih belum pulih dan persembahan nyanyian disertai pun diganti penyanyi lain. Selain AJL34, saya juga terbabit dengan persembahan sempena perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020.

"Tak dinafikan, jadual aktiviti seni saya memang sibuk kerana perlu memberi tumpuan pada dua acara besar sekali gus," katanya.

Dalam AJL34, Drama Band bakal mempersembahkan lagu berjudul Drama.

Menurut Aepul, disebabkan terikat dengan penyelarasan kerja pentas dan persembahan untuk LTdL 2020 termasuk persediaan ke AJL34, dia kurang tidur.

"Bukan sekadar tidur tidak cukup, saya juga sedar tiada masa rehat. Saya terlalu sibuk bekerja. Jadi, dengan masalah hilang suara yang berlaku ini saya cuba curi masa untuk tidur untuk mencukupkannya.

"Saya akui rehat dan tidur yang tidak cukup memang boleh mengganggu kesihatan vokal untuk menyanyi," katanya.

Aepul ketika dihubungi berada di Kuching sejak kelmarin untuk program LTdL 2020 dan akan pulang ke Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya sebaik tiba di Kuala Lumpur, dia akan ke klinik yang dicadangkan penyanyi Syamel untuk mengambil suntikan.

"Syamel pernah mengalami masalah sama dan selepas dia dapatkan rawatan dari klinik terbabit, dia pulih.

"Jadi, saya nak ikut cadangan Syamel untuk dapatkan rawatan. Namun, jika masih tidak pulih juga, langkah terakhir akan diambil ialah turunkan 'key' muzik lagu Drama itu.

"Saya akan tetap membuat persembahan bersama Drama Band di pentas AJL34 dan tidak akan melepaskan peluang itu," katanya.

Dia akan membuat persembahan terbaik yang termampu kerana enggan mengecewakan ahli kumpulan yang lain.

"Kami menyanyikan lagu ciptaan sendiri dan selaku penyanyi, menjadi tanggungjawab saya membuat persembahan terbaik. Tidak adil bagi ahli kumpulan lain jika saya tidak mampu menyanyi sebaik mungkin," katanya.

Selain Drama Band, finalis lain yang berentap di AJL34 ialah Hafiz Suip, Akim & The Majistret, Hazama, Haqiem Rusli, Aman RA, Naim Daniel, Kugiran Masdo, Ernie Zakri, Bob Yusof, Aina Abdul dan Fairuz Misran.

Acara kemuncak AJL34 akan disiarkan secara langsung di TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 11:56 AM