Aedy (kanan) bersama pemilik FoodMonger, Mohd Naufal Abd Latif (tengah) dan pemilik gerai Ayo, Zahir Ariffin. FOTO Najiy Jefri
Aedy (kanan) bersama pemilik FoodMonger, Mohd Naufal Abd Latif (tengah) dan pemilik gerai Ayo, Zahir Ariffin. FOTO Najiy Jefri
Najiy Jefri


PELAKON Aedy Ashraff menolak dakwaan segelintir pihak yang mengatakan gerai snek kentang goreng, Fam' Fries Kitchen miliknya laris berikutan popularitinya.

Katanya, gerai itu mendapat sambutan ramai kerana keenakan resipinya dan disebabkan itu dapat beroperasi di dua cawangan.

"Tidak dinafikan populariti yang saya terima sedikit sebanyak menaikkan lagi jenama perniagaan ini, tapi bukan 100 peratus.

"Bagi saya kejayaan gerai ini adalah kesedapan menu yang ditawarkan," katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya FoodMonger baru-baru ini.

Katanya, dia perlu membahagikan masa sebaik mungkin bagi memastikan karier lakonan dan gerainya terus mendapat sambutan ramai.

Aedy berkata, dia akan memastikan dirinya mendapat rehat mencukupi walaupun perlu menguruskan dua cawangan yang terletak di The Podium, Sungai Penchala dan terbaharu di FoodMonger, Tamarind Square, Cyberjaya.

"Alhamdulillah dalam tempoh tiga bulan mengusahakan perniagaan ini saya sudah berjaya membuka satu lagi gerai di FoodMonger.

"Jujur memang tak cukup rehat tapi saya harus akui bahawa bidang perniagaan adalah kerjaya baru yang mempunyai kepuasan tersendiri.

"Walaupun sibuk apabila perlu turun padang di dapur tapi saya akan pastikan diri cukup tidur enam jam sehari supaya badan tidak cepat letih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 10:01 PM