Aedy Ashraf
Aedy Ashraf
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Aedy Ashraf membuat laporan di Balai Polis Cyberjaya, kelmarin terhadap seorang individu yang menyamar sebagai dirinya dengan menggunakan alamat emel palsu untuk memperdaya wanita.

Aedy ketika dihubungi berkata, dia terkejut apabila terdapat lima wanita tampil berkongsi mengenai perkara itu sehingga ada yang mendakwa sudah bercakap dengan individu itu hampir dua minggu.

"Sudah lima wanita menghantar mesej peribadi kepada saya bertanyakan mengenai kesahihan emel itu. Modus operandinya adalah mengikuti akaun Instagram kenalan saya yang mempunyai alamat emel di profil akaun mereka, kemudian individu ini akan cuba menghantar mesej dan menyamar sebagai saya. Ramai yang terpedaya apabila mesej yang dihantar di iMessage itu tertera seolah-olah emel saya sehingga ada yang sudah bercakap dengan individu ini hampir dua minggu.

"Malah individu ini juga dengan beraninya mengajak mereka keluar berjumpa selain ada wanita yang sudah memberikan alamat rumah kepada penyamar ini," katanya.

Menurut Aedy, laporan polis yang dibuat bagi membersihkan namanya selain bimbang maklumat diri disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya ingin tegaskan alamat emel itu bukan kepunyaan saya dan mengingatkan kepada semua untuk lebih berhati-hati. Setakat ini, kesemua wanita yang menghubungi saya memaklumkan tiada ugutan atau perkara tidak baik berlaku kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 1:13 PM