300 dron Intel Shooting Star diterbangkan ke ruang udara Kuala Lumpur dengan simbol Avengers.
300 dron Intel Shooting Star diterbangkan ke ruang udara Kuala Lumpur dengan simbol Avengers.
Syafil Syazwan Jefri


SEMPENA tayangan filem paling dinanti-nanti tahun ini iaitu Avengers : Endgame, sebanyak 300 dron Intel Shooting Star diterbangkan ke ruang udara Kuala Lumpur dengan simbol-simbol ikonik filem adiwira itu, malam semalam.

Antara simbol yang dibentuk dengan dron bercahaya itu ialah Avengers, Iron Man, Captain America, Thor dan Hulk.

Persembahan dron itu adalah sebagai tanda terima kasih kepada peminat Malaysia yang memberikan sokongan kepada legasi filem Avengers sejak sedekad lalu.

Ia turut dicatat dalam Malaysia Book of Records sebagai Persembahan Cahaya Menggunakan Dron Paling Banyak.

Peminat boleh menyaksikan persembahan cahaya itu sekali lagi Jumaat ini pada jam 8 dan 10 malam bergantung kepada keadaan cuaca pada waktu itu.

Lokasi terbaik untuk menonton persembahan itu adalah dari jarak 200 ke 300 meter dari Menara Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, tiket tayangan Avengers : Endgame yang mula dijual di negara ini pada 2 April sudah mencecah lebih RM10 juta.

Di Malaysia, Avengers : Endgame mula ditayangkan hari ini dan mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 6:38 PM