ANZALNA hadiahkan ibu bapa kereta sebagai mengenang jasa orang tua yang membesarkannya selama ini. FOTO Instagram Anzalna Nasir
ANZALNA hadiahkan ibu bapa kereta sebagai mengenang jasa orang tua yang membesarkannya selama ini. FOTO Instagram Anzalna Nasir
Syanty Octavia Amry


SEMPENA ulang tahun perkahwinannya yang ketiga, pelakon Anzalna Nasir membuat kejutan kepada orang tuanya dengan menghadiahkan mereka sebuah kereta mewah jenama Mercedes Benz.

Berkongsi perkara itu di Instagram miliknya, Anzalna berkata, hasrat menghadiahkan kereta berkenaan sudah lama kerana dia tahu ayahnya meminati kereta jenis itu.

“Hadiah ini saya belikan sempena mengenang jasa kedua orang tua yang membesarkan saya selama ini.

“Ketika pergi berbulan madu, saya dan suami, Hanif Zaki membawa mereka menunaikan ibadat umrah. Ulang tahun perkahwinan yang ketiga ini, saya hadiahkan mereka sebuah kereta.

“Saya percaya walaupun sudah berkahwin jangan lupa kepada kedua orang tua yang membesarkan kita dan menghormati suami kita,” tulisnya.

Anzalna yang kini hamil lima bulan turut memuat naik video kejutan itu di laman YouTube.

Bercakap mengenai fasa perkahwinannya, Anzalna berkata, dia sentiasa berdoa supaya Allah SWT merahmati perkahwinannya sehingga ke akhir hayat.

“Perkahwinan saya dan Hanif sangat indah. Kunci kebahagiaan kami adalah sentiasa hormat-menghormati di antara satu sama lain.

“Genap 13 tahun bersama Hanif, tiga tahun melayari bahtera perkahwinan, insya-Allah kami akan bertiga tahun ini.

“Saya tidak tahu apa yang bakal menanti kami pada masa akan datang tetapi sentiasa berdoa kepada Allah supaya merestui perkahwinan ini dan dapat terus bersama suami hingga ke akhir hayat,” tulisnya.

Terdahulu, Anzalna dan suami berkahwin pada 21 Februari 2016 dan bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 3:42 PM