Anzalna Nasir
Anzalna Nasir

Kuala Lumpur: Pelakon, Anzalna Nasir mengesahkan dirinya sudah bertudung sempena menyambut ulang tahun kelahiran suaminya, Hanif Zaki yang ke-33, kelmarin.

Kejutan yang dibuat terhadap suaminya itu dikongsikan di media sosial miliknya semalam sekali gus mengejutkan peminatnya di Instagram.

"Semoga terus istiqamah. Selamat ulang tahun cinta hati saya, Hanif Zaki," tulisnya.

Hanif kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada Anzalna serta mendoakan suri hatinya itu. "Insya-Allah, sama-sama kita berdoa. Amin," tulisnya dalam ruangan komen.

Kejutan istimewa yang diumumkan pada hari Jumaat penuh barakah di media sosial miliknya dihujani dengan kata-kata positif daripada peminat dan rakan selebriti.

Antara rakan selebriti yang memberikan kata-kata semangat ialah Farah Nabilah, Sherry Ibrahim, Mira Filzah, Sherry Alhadad, Betty Rahmad dan Fasha Sandha.

Sementara itu, Anzalna menerusi perkongsian di Instagram Story memohon maaf kepada rakan-rakan media kerana tidak dapat memberikan sebarang komen berhubung penghijrahannya itu.

"Terima kasih untuk cinta dan sokongan anda, tapi saya tak dapat memberikan sebarang komen buat masa ini. Saya minta maaf dan saya cintakan kalian semua. Insya-Allah saya akan kongsikan kepada anda nanti. Doakan saya sentiasa istiqamah," tulisnya.

Anzalna dan Hanif mendirikan rumah tangga pada 2016 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamad Eidress yang kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 2:43 PM