AWIE. FOTO NSTP
AWIE. FOTO NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


“SAYA tetap saya,” kata Datuk Awie, mengulas mengenai penampilan terkininya selepas pulang daripada mengerjakan umrah, baru-baru ini.

Awie, 50, berkata, dia tetap dengan ‘trademark’ poyo dan akan terus aktif dalam seni.

“Saya tetap ‘poyo’ dan kelakar. Konsep nyanyian saya juga masih kekal genre rock. Cuma urusan kita dengan Tuhan, biar kita dengan Tuhan saja.

“Hubungan kita dengan masyarakat, dengan penyokong tetap perlu dijaga dan diberikan komitmen,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai projek filem terbarunya Jejaka Gedik yang bakal diterbitkan bersama pengarah Mamat Khalid, Awie berkata, idea ini diberikan sendiri oleh Mamat selepas mendengar keluhannya, baru-baru ini.

Sebelum ini Awie dan beberapa pelakon filem Hantu Kak Limah kecewa dengan bonus diterima daripada penerbit yang didakwa tidak setimpal berbanding kutipannya sebanyak RM38 juta.

“Abang Mamat memberikan saya tugasan untuk mengendalikan apa saja berkaitan filem ini termasuk mencari pelabur.

“Isteri Abang Mamat, Kak Intan akan kumpulkan semua skrip kerana saya ada beberapa pelabur yang berminat untuk terbitkan Jejaka Gedik.

“Insya-Allah... apabila semuanya sudah ada, penggambaran filem ini akan dibuat pada tahun depan,” katanya.

Menurut Awie, Jejaka Gedik adalah sebuah filem hebat di mana ideanya datang daripada mereka sendiri.

“Ketika itu kami berdua duduk dalam kelab milik saya di Ipoh, Perak. Kami berdua terkinja-kinja dan saya berkata, rasanya kita yang paling muda dalam kelab ini.

“Waktu itu kami menonton ‘live band’ sambil berbual dan gelak-gelak. Saya kata, kita kena filemkan ini.

“Abang Mamat jawab okey dan dia pun buat skrip. Mulanya saya cadangkan tajuk Jejaka 40-an kerana waktu itu umur kami 40-an.

“Selepas siap skrip, dia kata Jejaka Gedik lagi menarik dan akhirnya tajuk ini digunakan,” katanya.

Awie mengakui tidak sabar menunggu kombinasi antaranya dengan Mamat yang turut membintangi filem ini.

“Saya minta dia berlakon dan seorang lagi yang terbabit ialah Ropie. Berkenaan soal bonus, saya dah berbincang dengan Abang Mamat.

“Saya beritahu dia, dah puas saya kayakan orang sejak zaman filem Sembilu lagi. Sekarang zaman Hantu Kak Limah dan saya masih lalui nasib yang sama.

“Saya tak nak nasib saya begini saja. Bagi orang kesenangan tapi orang lupa. Kita bagi idea dan dia senang, dia sajalah yang senang tapi kita tetap ‘survive’ untuk hidup,” katanya.

Awie berkata, sekarang masanya untuk dia buat filem sendiri dan mereka telus kerana ini membabitkan masa depan anak mereka.

“Anak-anak Abang Mamat memang terbabit dalam seni. Lebih baik kita fikir masa depan anak dan sahabat yang bekerjasama dengan kami.

“Saya amat berharap pelabur setuju dan kami akan buat sebaik mungkin untuk artis tanah air.

“Tiada apa lagi yang kami fikirkan kecuali berkarya dan menghibur serta cari rezeki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 5:26 PM