Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Love you (sayang kamu), bro. Get well soon (semoga cepat sembuh),".

Demikian antara kata-kata akhir yang paling diingati pelakon dan penyanyi, Datuk Awie dalam perbualannya dengan pengarah dan penerbit, Allahyarham Mamat Khalid yang meninggal dunia malam semalam.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, pemergian Mamat adalah umpama kehilangan sosok seorang abang buat dirinya.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah adalah ketika tayangan filem Kampong Pisang Muzikal Raya. Tapi, kami kerap bertanya khabar menerusi telefon dan kiriman WhatsApp.

"Ketika saya menjalani pembedahan sebelum ini, dia ada hubungi saya. Bila dia cakap 'Love you, bro', memang saya ingat kata-kata itu sebab jarang kita dapat dengar Abang Mamat cakap begitu.

"Bila dapat berita pemergiannya, memang saya rasa kehilangan sampai menitiskan air mata kerana dia umpama seorang abang buat saya," katanya kepada Harian Metro.

Foto kenangan Awie bersama Allahyarham Mamat.
Foto kenangan Awie bersama Allahyarham Mamat.

Menurut Awie yang popular dengan watak Hussin dalam beberapa filem Kampong Pisang arahan Mamat, dia juga menerima banyak ilmu daripada Mamat terutamanya dalam lakonan komedi.

"Dia bahasakan diri dia abang dan dia benar-benar menjadi abang yang mendidik kami semua tak kiralah pelakon, kru dan seluruh pasukan produksi.

"Sebagai abang, dia ada banyak ilmu dan pengalaman yang dikongsikan. Dia membimbing saya terutamanya untuk berlakon watak komedi.

"Dalam mendidik, dia tak menunjukkan dirinya sebagai pelawak sebab dia seorang yang tegas. Namun, dia akan tunjukkan satu persatu cara lakonan," katanya.

Antara pesanan yang pernah dikongsikan Mamat kepada Awie adalah, pelawak tidak perlu melawak sepanjang masa.

"Dia cakap, nak jadi pelawak, jangan 'berlagak' komedi. Kena ikut situasi dan bukan sepanjang masa nak kena buat lawak," katanya.

Mamat, 58, menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak, jam 12.30 tengah malam ini.

Arwah dipercayai mendapat serangan jantung dan tidak sedarkan diri ketika berada di Sarang Art Hub.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 12:10 PM