DATUK Amy Search pada sidang media sambutan hari raya Search. FOTO Rohanis Shukri
DATUK Amy Search pada sidang media sambutan hari raya Search. FOTO Rohanis Shukri
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Isu perbalahan kumpulan Search yang kini terpecah dua iaitu yang dianggotai pemain gitar adik-beradik, Noordin dan Kid serta satu lagi kumpulan dianggotai Amy, Nasir Daud (bass), Man Kidal (gitar) dan Hillary Ang (gitar) yang turut menggunakan nama Search seakan-akan tidak menemui titik noktah.

Terbaharu, Amy kecewa dengan tindakan Noordin dan Kid yang sehingga kini 'membisu' mengenai royalti album Rockology Search: Kid'Din Collection terhadap anggota Search termasuk dirinya, Nasir dan Allahyarham Yazit.

"Saya tak halalkan. Kami juga berhak dapat royalti album Rockology Search: Kid'Din Collection Series yang mereka keluarkan tanpa pengetahuan saya dan Nasir," katanya.

Amy ketika ditemui mendakwa, penjualan album itu dibuat tanpa persetujuan anggota asal Search selain tidak mempunyai dokumen atau perjanjian mengenai pembahagian royalti.

"Saya nak tanya kepada Noordin dan Kid di mana kami punya royalti album yang anda jual? Itu hak kami termasuk anak dan isteri Allahyarham Yazit. Kau jual album, satu dokumen pun tiada. Kami satu sen pun tak dapat sedangkan kontrak digital yang kami tandatangan, mereka turut dapat bahagiannya.

"Banyak benda yang mereka langgar dan tidak menghormati kami sedangkan mereka tahu tindakan itu salah. Paling tidak menyeronokkan lagi apabila mereka ada cakap kepada kawan saya mengenai agihan royalti yang mereka ingin berikan kepada kami mengikut belas kasihan mereka.

"Album itu terkandung lagu-lagu yang kami mainkan bersama. Mereka sudah melanggar Akta Hak Cipta dan bagaimana nak bayar royalti kami sedangkan tiada perjanjian membabitkan saya, Nasir dan Allahyarham Yazit," katanya.

Menurut Amy, dia mendakwa Noordin dan Kid seolah-olah merompak hasil titik peluh anggota Search sehingga mereka dinafikan hak.

"Ketika penularan Covid-19 dulu, mereka ada beritahu hidup dalam kesusahan dan dalam masa sama Nasir cuba dapatkan kontrak digital dan bayaran penjualan barangan cenderahati (merchandise) sehingga setiap seorang berjaya mendapat kira-kira RM50,000.

"Tapi untuk royalti album ini tiada sebarang perjanjian dan kami akan berbincang dengan pihak peguam mengenai perkara ini kerana saya rasa ia satu contoh yang tidak baik.

"Kalau dulu kita berkempen fasal cetak rompak, tapi hari ini kawan sendiri yang rompak hasil titik peluh bersama. Hari ini saya belum mati lagi, tapi kalau esok sudah tiada takkan anak dan isteri saya nak pergi jumpa dia. Jika anak arwah Yazit pun tak dapat apatah lagi saya," katanya.

Produk Rockology Search : Kid'Din Collection Series yang mengandungi 17 barangan istimewa antaranya cakera padat kompilasi lagu berat mula dijual pada 17 November 2021 dengan harga RM299.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 11:36 AM