JIHAN Muse. FOTO NSTP
JIHAN Muse. FOTO NSTP
Rudy Imran Shamsudin


PENGACARA, Jihan Muse menjelaskan dia bukanlah penyampai Hot FM, sebaliknya hanya menjayakan segmen jenaka selama tiga minit setiap pagi.

Jihan ketika ditemui semalam, membuat penjelasan itu bagi menerangkan kekeliruan yang timbul dalam kalangan pendengar Hot FM mahupun peminatnya sendiri.

Kata Jihan, ada peminat menghantar pesanan ringkas menerusi media sosial dan bertanyakan mengapa dia hanya bersiaran selama tiga minit, sedangkan penyampai radio yang bertugas pagi akan bersiaran dari 6 hingga 10 pagi.

“Mungkin kekeliruan ini timbul disebabkan promosi yang dilakukan pihak Hot FM seolah-olah menunjukkan saya adalah seorang daripada penyampai radio baru mereka.

“Sedangkan perkara itu tidak berlaku. Saya hanya menjayakan segmen seperti mana segmen lain yang ada di Hot FM.

“Mengambil contoh Mari Belajar English yang menampilkan pelakon dan guru lakonan, Fatimah Abu Bakar, sebagai jemputan bersama tiga lagi penyampai pagi mereka,” katanya.

Tambah Jihan lagi, dengan kesibukan tugas dan juga statusnya sebagai ibu, membataskan dirinya untuk menerima tawaran menjadi penyampai radio secara tetap.

“Kalau saya hendak menjadi penyampai radio secara tetap sudah lama saya menerima tawaran dari Sinar FM. Kerana pihak mereka yang pertama menawarkan saya menjadi penyampai radio,” katanya.

Kata Jihan lagi, dia bersetuju untuk menjayakan segmen lawak bersama Syuk, Ajak dan Fizie kerana untuk menghasilkan pengisian program terbabit boleh dirancang mengikut masanya yang terluang.

“Untuk pengisian segmen terbabit, saya bersama Syuk, Ajak dan Fizie akan duduk dan membuat rakaman untuk 10 hari, jadi saya tidak perlu datang ke studio setiap hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 2:13 PM