FIZIE, Shuk dan Ajak tawan hati pengikut setia segmen Geng Pagi Hot.
FIZIE, Shuk dan Ajak tawan hati pengikut setia segmen Geng Pagi Hot.
Syanty Octavia Amry

Sepanjang 12 tahun berkecimpung dalam dunia penyiaran radio, Mohamad Hafizie Roslan atau Fizie tiada masalah digandingan dengan sesiapa.

Baginya, setiap orang ada cara berbeza dan ia boleh dijadikan pengalaman mengelolakan program di konti.

Hampir tujuh tahun bersama Hot FM, jika sebelum ini dia bergandingan dengan AG dan Fara Fauzana, terbaru Fizie disatukan bersama dua pelawak iaitu Ajak daripada kumpulan Shiro serta Syuk daripada kumpulan Balas.

Malah Fizie sedikit pun tidak rasa terpinggir dengan kehadiran dua figura popular itu sebaliknya mereka serasi menceriakan pendengar.

Mengendalikan segmen Geng Pagi Hot setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 6 hingga 10 pagi, mereka kini sibuk menjayakan siri jelajah bertemu peminat di beberapa negeri.

Menerusi acara #GelakPecahHabis

(GPH) yang bermula sejak 2 Ogos lalu dan berakhir pada 25 Ogos ini, mereka berjaya menawan hati pengikut setia segmen itu.

Ketika menjayakan sesi fotografi baru-baru, Fizie, Ajak dan Syuk berkongsi pengalaman bekerjasama.

Fizie tidak anggap diri hebat

Bagi yang kurang mendengar segmen pagi Hot FM, mungkin ada yang tidak mengenali nama Fizie, berbeza dengan Ajak dan Syuk, masing-masing sudah dikenali sejak menyertai program lawak di TV.

Tidak terkesan dengan perkara itu, Fizie mengganggap berlawak di TV dan di radio tidak sama kerana ada garis panduan yang perlu dipatuhi.

Malah pengalaman sudah lama sebagai penyampai radio Fizie kongsikan bersama-sama Ajak dan Syuk.

“Saya tidak pernah rasa terpinggir dengan kemunculan mereka. Bagi saya kedua-dua mereka adalah rencah dalam menyedapkan program yang kami kendalikan.

“Sebagai pelawak pastinya mereka suka bergurau dan banyak ketawa, keadaan inilah yang perlu saya kawal supaya mereka tidak tersasar,” katanya.

Fizie berkata, sikap mahu belajar kedua-dua pelawak berkenaan juga memudahkan rutin harian masing-masing.

“Setiap hari kami akan datang awal dan berbincang bagi mendapatkan isu yang sesuai untuk dibahaskan.

“Selain membaca akhbar dan laman sosial, kadangkala kami minta juga pandangan daripada pendengar apakah isu menarik yang boleh diketengahkan,” katanya.

Syuk jatuh cinta

Meskipun selalu menghiburkan peminat di kaca televisyen, Syuk mengakui bekerja di konti radio berbeza dan sangat mencabar.

“Dua bulan pertama, saya sangat gementar. Semua rasa susah terutama mengendalikan mesin sambil bercakap.

“Mujur Fizie banyak membantu dan sekarang saya rasa dapat menyesuaikan diri,” katanya.

Syuk turut memaklumkan dia semakin selesa mengelolakan segmen Geng Pagi Hot dan berharap terus diberi peluang mengembangkan sayap sebagai penyampai radio.

“Saya lebih seronok buat lawak di radio kerana lebih terkawal.

“Fizie dan penerbit banyak mengawal keadaan supaya saya tidak terbabas atau melalut. Malah, Fizie selalu mengingatkan saya apa yang boleh dan tidak boleh dibuat apabila ke udara,” katanya.

Ajak layan kerenah pendengar

Semakin seronok menjadi sebahagian daripada keluarga Hot FM, Ajak tidak ketinggalan berkongsi pengalaman berdepan kerenah pendengar.

“Lebih setahun bersiaran di Hot FM. Diakui banyak cabaran saya lalui terutama melayan ragam pendengar.

“Paling saya tidak boleh lupa apabila ada seorang wanita terlalu fanatik dengan Hot FM sehinggakan dia tahu semua isu yang kami tanya,” katanya.

Sambung Ajak, dia juga pernah menerima 1,200 panggilan daripada seorang pendengar.

“Saya dan rakan nampak usaha pendengar itu yang tidak berputus asa untuk ke udara sehingga sanggup menghubungi berulang kali.

“Bukan kami sengaja tidak mahu menjawab panggilannya, tetapi kami mempunyai tujuh talian dan panggilan diambil secara rawak.

“Banyak pengalaman menarik diraih sepanjang bertugas dan ia buat saya sangat teruja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 4:07 AM