Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Ummi Nazeera berkongsi hampir hilang pertimbangan apabila mengalami masalah placenta previa jenis dua hingga menyebabkan pendarahan sebanyak tiga kali sebelum bersalin anak perempuan, Ayra Aneesah Mohd Izzar, 22 Ogos lalu.

Ummi, 28, atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin berkata, masalah membabitkan uri itu membuatkan dia terfikir sudah kehilangan anak sulungnya.

Menerusi perkongsian video di Instagram, Ummi berkata, kehamilan pertama itu begitu mencabar.

"Assalammualaikum puteriku, Ayra Aneesah Mohd Izzar. Alhamdulillah Allah memudahkan mummy untuk mengandung tetapi perjalanan untuk mengandungkan kamu sangat mencabar untuk kami.

"Mummy ada placenta previa jenis dua dan pendarahan mula berlaku selepas sambutan Aidilfitri lalu.

"Saya menangis apabila ia terjadi. Ingatkan mummy sudah kehilangan kamu. Alhamdulillah, semuanya baik," katanya.

Menurut Ummi, suaminya, Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khan sentiasa memberi semangat padanya selain berdoa dan bersujud agar semuanya dipermudahkan.

"Mummy banyak berehat dan keluar rumah sekali seminggu. Mummy akan cuba segala yang boleh. Banyak berdoa dan bersujud.

"Malangnya, ia berlaku buat kali kedua dan ketiga. Pendarahan yang berlaku terlalu banyak sehingga doktor memutuskan untuk mummy jalani pembedahan.

"Mummy takut sangat dan hampir hilang pertimbangan. Alhamdulillah, daddy tenangkan dan meminta mummy supaya usah nangis dan beristighfar.

"Daddy cakap sambil meletakkan kepala di dahi mummy dan memegang tangan mummy dengan kuat. Mummy tahu maksudnya mendalam, hanya Allah yang boleh bantu," tulisnya.

Menerusi status sama, Ummi bersyukur apabila proses pembedahan berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi.

"Alhamdulillah, pembedahan berlangsung dengan baik tanpa komplikasi. Syukur ya Allah.

"Masa masuk bilik pembedahan, muka daddy masam sangat, masa keluar dari bilik itu, muka daddy terus senyum macam kerang busuk.

"Daddy beritahu dia sudah jumpa anak... Alhamdulillah. Ketika mummy melihat kamu, Mummy sangat gembira. Kamu sempurna," katanya.

Ummi berkahwin dengan Mohd Izzar, 31, pada 23 Julai tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 1:35 PM
UMMI Nazeera melahirkan Ayra Aneesah (gambar kecil), 22 Ogos lalu. FOTO arkib NSTP/Instagram Ummi Nazeera
UMMI Nazeera melahirkan Ayra Aneesah (gambar kecil), 22 Ogos lalu. FOTO arkib NSTP/Instagram Ummi Nazeera