AYRA selepas dagu dijahit.
AYRA selepas dagu dijahit.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon Ummi Nazeera, 28, bersyukur pembedahan menjahit luka pada bahagian dagu anak sulungnya, Ayra Aneesah, 3, yang terjatuh, hari ini berjalan lancar dan dipermudahkan.

Ummi berkata, anak perempuannya itu terjatuh ketika bermain di rumah. Ayra juga terpaksa dibius kerana dibimbangi dia akan meronta-ronta selain perlu menjalani ujian calitan Covid-19.

"Ayra bermain lasak sangat sehingga terjatuh menyebabkan dagunya terkoyak. Dia sedang bermain penutup biskut di tangan, kemudian terjatuh di atas lantai dan tidak sempat hendak mengawal bahagian dagunya. Luka yang dialami Ayra agak dalam dan selepas diperiksa suami, kami terus bawanya ke hospital kerana Ayra meraung kesakitan," katanya.

Menerusi hantaran di Instagram, Ummi turut berkongsi keadaan dan gambar anaknya ketika di hospital. Dia turut memohon doa buat anak perempuannya itu.

Ummi mendirikan rumah tangga dengan Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khani pada 23 Julai 2017.

Hasil perkongsian hidup mereka, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Ayra yang dilahirkan pada 22 Ogos 2018 dan Aysha Arsylia pada Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 2:42 PM